Home » Langit Terbuka » Lima teras Deklarasi Kedamaian Kuala Lumpur 2019

Lima teras Deklarasi Kedamaian Kuala Lumpur 2019

Antara kenamaan yang menghadiri perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka pagi ini. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Deklarasi Kedamaian Kuala Lumpur 2019 yang mengandungi lima pernyataan dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa sempena perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka, pagi ini.

Beliau mengetuai bacaan deklarasi itu yang antara lain menyatakan dalam kebangkitan kebencian kaum dan agama, masyarakat dikejutkan dengan tindakan keganasan dan pembunuhan di Christchurch, New Zealand, minggu lalu.

“Dunia perlu dipertahankan daripada budaya kebencian yang boleh membawa kepada tindakan keganasan.

“Sesungguhnya sebarang tindakan keganasan itu tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana agama dan kaum kerana keganasan tiada beragama dan tidak pula lahir dari mana-mana kaum,” menurut deklarasi itu.

Justeru, Deklarasi Kedamaian Kuala Lumpur 2019 menyatakan seperti berikut:

1. Mengecam segala tindakan diskriminasi, perlakuan berbentuk keganasan serta pembunuhan atas nama kaum dan agama.

2. Menolak dan mengutuk sebarang tindakan serta budaya kebencian atas nama kaum dan agama.

3. Mendokong segala usaha menghidupkan kedamaian dan menyokong keharmonian antara kaum dan agama.

4. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta kedaulatan Negara daripada diancam oleh anasir kebencian atas nama kaum dan agama.

5. Menyokong dan berganding bahu bersama warga dunia dalam usaha membina persekitaran berteraskan keamanan dan kedamaian berpaksikan pengiktirafan kepelbagaian kaum dan agama.- Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *