Home » Langit Terbuka » LZNK perkenal bayar zakat secara dalam talian

LZNK perkenal bayar zakat secara dalam talian

BAKAR DIN (dua dari kanan) meletakkan ibu jari ke peranti pintar yang dipegang oleh Zakaria Othman sebagai simbolik pelancaran Jom Zakat di Wisma Darulaman, Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 8 Feb. – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyasarkan peningkatan 50 peratus kutipan zakat di negeri ini menerusi Skim Barakah yang menggunakan sistem pembayaran zakat secara dalam talian.

Pengerusinya, Datuk Bakar Din berkata, perkhidmatan pembayaran menerusi platfom atas talian yang dikenali sebagai ‘Jom Zakat’ itu akan memberikan akses lebih mudah kepada pembayar zakar yang tidak berkesempatan untuk membuat pembayaran di kaunter.

“Walaupun tahun lalu kita beroperasi tanpa sistem dalam talian, kutipan zakat negeri meningkat sebanyak 20 peratus maka dengan adanya sistem Jom Zakat ini ia dijangka dapat meningkatkan lagi jumlah kutipan sebanyak 50 peratus.

“Orang ramai boleh membuat pembayaran secara dalam talian dengan cepat dan mudah kerana maklumat dan kiraan zakat akan disediakan,” katanya selepas majlis Pelancaran Sistem Jom Zakat di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman.

Menurutnya, LZNK mewujudkan sistem itu bagi memudahkan orang ramai supaya tidak lagi perlu ke pejabat zakat untuk membuat bayaran zakat selain meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab membayar cukai kepada orang ramai.

“Kita harap dengan kemudahan yang disediakan LZNK itu akan meningkatkan kutipan zakat seterusnya dapat diagihkan kepada golongan asnaf termasuk golongan yang memerlukan bantuan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Bakar memberitahu, perkhidmatan itu turut merangkumi semua jenis zakat termasuk individu, majikan, jabatan kerajaan, syarikat korporat dan koperasi.

“Penggunaan platfom ini juga diharapkan bagi meningkatkan lagi kesedaran orang ramai termasuk syarikat korporat dalam menunaikan kewajipan membayar zakat,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan tersebut boleh didapati dengan melayari laman sesawang di jom.zakatkedah.com.my atau menghubungi LZNK di talian 1-800-88-1740.- UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *