Home » Citra Yadim » MABIMS tolak pendekatan keras, ekstrem

MABIMS tolak pendekatan keras, ekstrem

SINGAPURA – Negara negara Asia Tenggara terutamanya yang mempunyai majoriti penduduk Islam, menolak pendekatan keras dan melampau dalam menangani kemelut ummah.

Ia merupakan kesepakatan dan keputusan yang dipersetujui bersama dalam Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM), Pertemuan Tidak Rasmi Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) Ke 44 yang diadakan di Singapura pada 11 hingga 14 November lalu.

Malaysia menerusi mesyuarat berkenaan, membawa agenda Rahmah yang kini diketengahkan kerajaan, manakala ‘Masyarakat Islam Gemilang Pembawa Rahmat’ adalah tema yang dipilih sebagai agenda utama mesyuarat SOM berkenaan.

Tema tersebut dipilih bertepatan dengan isu global pada masa kini termasuk radikalisme, terorisme, islamophobia dan isu dalaman umat Islam seperti perpaduan dan perpecahan.

Antara pegawai kanan yang mewakili Malaysia termasuklah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim selaku ketua delegasi, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, Roslan bin Said.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Dato’ Paimuzi Yahya dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, dan Hakimah Mohd. Yusoff.

Dalam pada itu, negara anggota MABIMS berikrar untuk menggunakan pendekatan yang lebih santun, berhemah dan sederhana dalam menghadapi isu global.

Pendekatan konsep rahmah, penjagaan hak setiap makhluk, pelaksanaan moderasi dalam hal keagamaan yang berpandukan kepada Maqasid Syariah dan prinsip wasatiyyah akan dilaksanakan oleh negara masing-masing agar menjadi contoh kepada dunia dalam menyelesaikan isu perpaduan, kemananan dan kemakmuran dunia.

Malaysia sewaktu membentangkan kertas tema, telah mengetengahkan pendekatan oleh kerajaan dalam menangani isu perpaduan, keamanan dan kemakmuran iaitu dasar pentadbiran Rahmah yang diperkenalkan.

Dasar tersebut dilihat sebagai pendekatan yang sesuai dalam konteks Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum, agama dan bangsa sama seperti di Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia dan Republik Singapura.

MABIMS atau nama penuhnya Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura adalah merupakan suatu bentuk kesepakatan serantau yang bergerak atas dasar keagamaan bagi menjaga maslahah dan kepentingan umat Islam tanpa mencampuri hal-hal yang bersifat politik negara-negara anggota. – JAKIM

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *