Home » Langit Terbuka » MAIK terima wang ihsan RM20.3 juta

MAIK terima wang ihsan RM20.3 juta

KOTA BHARU 8 Dis. – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah menerima peruntukan wang ihsan berjumlah RM20.3 juta daripada Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kewangan.

Timbalan Yang Dipertuanya, Dr. Nik Mohd. Azlan Abd. Hadi berkata, kelulusan sumbangan berkenaan adalah hasil usaha dari­pada Pemangku Sultan Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra yang juga Yang Dipertua MAIK.

“MAIK amat berterima kasih kepada Tuanku yang sudi me­ngadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan sekali gus kita dapat peruntukan berjumlah RM20.3 juta ke negeri ini.

“Setakat ini, MAIK sudah mendapat RM10 juta dan selebihnya akan diterima dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberi­ta selepas Majlis Penyerahan Cek Zakat Perniagaan Percetakan Nasional Malaysia Berhad bagi tahun 2015 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Cawangan Percetakan Nasional Malaysia Berhad, Rosilawati Kahar yang menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM9,118 kepada MAIK.

Nik Mohd. Azlan berkata, per­untukan wang ihsan tersebut akan digunakan untuk pendidikan, infrastruktur serta program bina insan.

“Tuanku sentiasa memberi keutamaan dalam aspek pendidikan kerana melalui ilmu, kadar kemiskinan juga akan dapat diku­rangkan.

“Manakala untuk infrastruktur, lebih kepada pembangunan termasuk pembinaan jalan raya, membaik pulih sistem perpa­ritan, jambatan dan pembinaan rumah untuk golongan asnaf,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Tengku Muhammad Fa-iz juga turut menitahkan MAIK berada dalam keadaan siap sedia menghadapi musim tengkujuh ini.

“Kita akan bersedia dalam membantu menyediakan bekalan makanan kepada mangsa banjir serta bantuan rumah untuk mereka yang terlibat dengan bencana berkenaan,” katanya. https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *