Home » Langit Terbuka » MAINJ salur 7,345 bakul makanan kepada keluarga terjejas COVID-19

MAINJ salur 7,345 bakul makanan kepada keluarga terjejas COVID-19

Bantuan bakul makanan MAINJ disalurkan melalui Pejabat MAINJ di daerah dan amil agihan zakat di setiap mukim. - Fotyo MAINJ

JOHOR BAHRU – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menyalurkan 7,345 bakul makanan kepada keluarga memerlukan di seluruh negeri ini, sehingga 31 Ogos lalu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, berkata bakul makanan itu disalurkan dalam tempoh Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan peruntukan RM3 juta.

 

“Bantuan bakul makanan ini disalurkan melalui Pejabat MAINJ di daerah dan amil agihan zakat di setiap mukim.

 

“Bagi memudahkan masyarakat membuat permohonan bantuan ini, MAINJ juga menyediakan talian hotline di peringkat Ibu Pejabat dan seterusnya tindakan bantuan ini akan dilaksanakan di peringkat Majlis Agama Islam Daerah,” katanya.

 

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Md Ysahrudin Kusni (PKR-Bukit Naning) pada sesi soalan lisan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, hari ini.

 

Ysahrudin bertanya mengenai bantuan disalurkan MAINJ kepada golongan terjejas di Johor akibat wabak COVID-19.

 

Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, MAINJ juga telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM3.53 juta, bagi memperluaskan lagi agihan wang zakat untuk membantu golongan terjejas dan terputus bekalan makanan ketika PPN Fasa Pertama.

 

Katanya, peruntukan RM1.7 juta daripada jumlah itu, disalurkan kepada 341 Gerobok Rezeki di masjid dan surau seluruh negeri ini dengan nilai RM5,000 setiap lokasi.

 

“Sumbangan kewangan RM1.6 juta pula disalurkan kepada masjid dan surau yang terjejas di Johor bertujuan membantu pengimarahan masjid dan surau yang terjejas terutama bagi menampung keperluan bil utiliti.

 

“Sumbangan RM230,000 pula disalurkan kepada Pejabat Daerah di seluruh Johor untuk tujuan Gerobok Rezeki.

 

“Sumbangan yang dilaksanakan ini berjalan setiap hari dan MAINJ komited dalam membantu masyarakat yang terjejas disebabkan COVID-19,” katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *