KUALA LUMPUR – Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2021 yang buat pertama kali dijalankan secara maya sepenuhnya akan menjadi pemangkin untuk menghidupkan semula ekonomi halal global, dalam menghadapi cabaran yang dibawa oleh pandemik COVID-19.
Pengerusi Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Tan Sri Dr Halim Mohammad, berkata MIHAS turut disasarkan menjadi pameran perdagangan halal global yang paling lama dianjurkan.
“MATRADE gembira dengan penganjuran MIHAS 2021 yang juga menjadi siri pameran digital pertama menawarkan peluang perdagangan dan jalinan pasaran berkaitan dengan ekonomi halal global.
“Kami menanti untuk menghidupkan semula kedudukan Malaysia sebagai hab halal global dengan satu lagi kejayaan positif di tengah-tengah persekitaran yang mencabar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan MIHAS 2021 secara maya, pada 6 September.
Halim berkata, pada masa yang sama, kemudahan secara maya perdagangan rentas sempadan dan pertukaran maklumat akan memberi manfaat kepada perniagaan tempatan serta antarabangsa.
Katanya, MIHAS 2021 akan menampilkan tiga komponen utama iaitu pameran maya, pemadanan perniagaan dan hab pengetahuan, menyaksikan sebanyak 549 peserta pameran maya akan menyertai pameran ini dengan 52 peratus atau 303 pempamer dari 43 negara.
“Dalam usaha untuk memajukan perkembangan eksport Malaysia, MATRADE akan mewujudkan pelbagai perkongsian awam-swasta di pelancaran rasmi MIHAS 2021 pada 9 September ini.
“MIHAS 2021 akan menawarkan pasaran halal rentas sempadan kepada komuniti perdagangan tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Mengulas lanjut, Halim berkata, Malaysia kekal sebagai peneraju global dalam ekonomi halal, mengekalkan kedudukan teratas dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) selama lapan tahun berturut-turut.
Beliau berkata, Malaysia juga kekal sebagai peneraju global dalam sektor seperti makanan halal, kewangan Islam, pelancongan mesra muslim serta farmaseutikal dan kosmetik.
Perkembangan itu, katanya adalah petunjuk pemulihan yang memberangsangkan bagi negara sejajar dengan prestasi perdagangan dalam tujuh bulan pertama 2021.
“Malaysia juga terus berada dalam kedudukan yang strategik dan dihormati sebagai sebuah negara yang berjaya, progresif dan inovatif, terutama dalam kalangan anggota Organisasi Kerjasama Islam (OIC).
“Lokasi pusat Malaysia di Asia juga meletakkannya sebagai platform perdagangan yang ideal, menarik pemain halal global dan memudahkan perdagangan halal,” katanya.
KOMEN