Home » Langit Terbuka » MAIS sasar kutipan zakat di Selangor sebanyak RM1.35 bilion pada tahun ini

MAIS sasar kutipan zakat di Selangor sebanyak RM1.35 bilion pada tahun ini

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menjawab pertanyaan media selepas Majlis Pelancaran Pelan Anti Rasuah MAIS dan Majlis Perutusan Pengerusi MAIS Bagi Tahun 2024. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM1.35 bilion tahun ini berdasarkan kemampuan dan pencapaian yang dilakukan Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada tahun lepas.
Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pada tahun lepas kutipan zakat di Selangor meningkat dengan positif, iaitu sehingga November 2023 melebihi RM791 juta iaitu peningkatan sebanyak tiga peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Pada 2022, LZS mencatat pencapaian bersejarah dengan prestasi agihan dan kutipan zakat tertinggi melebihi RM1 bilion sejak penubuhannya selama lebih 25 tahun, iaitu RM1.07 bilion bagi kutipan dan agihan zakat berjumlah RM1.05 bilion.

“Saya mengharapkan LZS dapat meluaskan lagi agihan zakat dan berkongsi rezeki melalui peruntukan amil kepada Universiti Islam Selangor (UIS) bagi tujuan pembangunan pendidikan,” katanya ketika berucap sempena majlis perutusan Pengerusi MAIS Tahun 2024 dan pelancaran Pelan Anti Rasuah MAIS, di sini hari ini.
Selain itu katanya LZS juga diharap dapat menyumbang wakaf kepada Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dan membantu anak yatim melalui Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) seperti yang dilaksanakan oleh Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd yang hampir setiap tahun berkongsi rezeki menyumbang kepada PWS dan YIDE.
Katanya bagi prestasi keseluruhan kutipan wakaf oleh PWS yang merangkumi wakaf tunai, wakaf khas dan manfaat wakaf (sewaan) pada tahun lepas adalah berjumlah RM75.498 juta dengan pencapaian 98 peratus daripada jumlah kutipan yang disasarkan.
“Sehubungan dengan itu, bagi sasaran 2024 ini, saya menyasarkan kutipan wakaf lebih tinggi iaitu sebanyak RM100 juta bagi keseluruhan jenis kutipan wakaf,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata Pelan Anti Rasuah MAIS menggariskan lima bidang utama iaitu Pengurusan Pentadbiran, Perolehan, Projek, Agihan dan Sumbangan Baitulmal dengan 39 inisiatif diwujudkan bagi mencegah gejala rasuah berlaku dikalangan warga MAIS, agensi dan anak syarikat serta masjid, surau dan sekolah agama Islam di bawah MAIS.
“Seharusnya penyelewengan tidak berlaku di mana-mana institusi Islam di Selangor ini. Pegawai atau warga kerja terutamanya menguruskan wang zakat, wang wakaf dan lain-lain perlulah amanah dalam melaksanakan tanggungjawab. Pastikan tiada satu sen pun wang diselewengkan,” katanya.
— BERNAMA

Artikel Berkaitan

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

Wacana Integriti YADIM bersama pihak SPRM

KOMITED Untuk telus dalam setiap urusan melestari gerakan dakwahnya, YADIM merangka beberapa program dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pada 30

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *