Home » Langit Terbuka » MAIWP ganda usaha bantu asnaf, gelandangan

MAIWP ganda usaha bantu asnaf, gelandangan

(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar) - Foto RTM
KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan terus melaksanakan usaha membantu golongan asnaf dan gelandangan keluar daripada garis kemiskinan tegar.

Komitmen itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar susulan pelaksanaan pelbagai program serta aktiviti MAIWP menyalurkan bantuan kewangan serta keperluan harian kepada golongan berkenaan.

Hasil daripada pelaksanaan bantuan itu katanya, didapati ada ahli keluarga golongan asnaf dan gelandangan berjaya menjalani kehidupan lebih baik selain mendapat pendidikan yang sempurna.

“Saya lihat kebanyakan keluarga (asnaf dan gelandangan) telah berjaya memulakan kehidupan baru bersama anak-anak mereka. Perkembangan ini amat selari dengan hasrat Kerajaan Madani yang ingin mencapai sasaran sifar miskin tegar dalam masa terdekat,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada keluarga asnaf sempena Program Jejak Gelandangan MAIWP di Lorong Haji Taib 2, Jalan Chow Kit di sini pada Jumaat.

Tambah beliau, selain bantuan kewangan bulanan, MAIWP turut menyalurkan bantuan sewa rumah serta persekolahan kepada anak-anak golongan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Na’im memaklumkan MAIWP bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menyelaras pangkalan data asnaf dan gelandangan bagi memastikan penyaluran bantuan dapat dilaksanakan secara sistematik serta adil kepada golongan berkenaan.

Katanya, penyelarasan pangkalan data itu akan membantu mengelakkan golongan rentan terlepas peluang menerima bantuan sewajarnya daripada pihak-pihak tertentu termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menyentuh mengenai pertindihan bantuan. Jadi, kita akan cuba selaraskan dengan cadangan menubuhkan bank data maklumat supaya setiap sumbangan dapat diagihkan dengan lebih adil.

“Malah, data maklumat ini penting untuk agensi-agensi berkaitan menyalurkan bantuan, menyediakan peluang-peluang pekerjaan selain memudahkan urusan-urusan lain,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *