Home » Langit Terbuka » MAIWP salur bantuan kecemasan RM2,000 kepada mangsa kebakaran

MAIWP salur bantuan kecemasan RM2,000 kepada mangsa kebakaran

Pengerusi MAIWP menyampaikan Kit Musibah yang mengandungi barangan keperluan diri kepada mangsa kebakaran Taman Batu Muda. - Foto MAIWP

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan bantuan kecemasan sebanyak RM2,000, kepada sebuah keluarga yang menjadi mangsa kebakaran rumah di Taman Batu Muda, di sini.

Pengerusinya Datuk Seri Syed Hussien Al-Habshee berkata, Kit Musibah yang mengandungi barangan keperluan diri seperti barangan mandi, pakaian dan telekung, serta bantuan makanan turut disalurkan kepada keluarga terbabit.

“Saya bekerjasama dengan Biro Kebajikan Bersatu Bahagian Batu dan akan merujuk kepada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), bagaimana hendak menempatkan keluarga ini, mungkin rumah PPR (Program Perumahan), supaya mereka dapat berteduh,” katanya ketika meninjau keadaan keluarga itu di sini hari ini.

Seorang pekerja buruh Johari Latif, 56, yang berpendapatan RM50 sehari dan isterinya Khalijah Ghazali, 45, tinggal sehelai sepinggang, apabila rumah mereka hangus dalam kebakaran Ahad lalu dalam kejadian pukul 5.30 pagi, yang berpunca daripada ubat nyamuk.

Pasangan yang mempunyai empat orang anak itu juga berdepan kesukaran, apabila anak bongsu mereka yang berumur 16 tahun, menghadapi masalah untuk memulakan pengajian di sebuah Maahad Tahfiz di Perak, akibat barang persediaan musnah daripada kebakaran itu.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Syed Hussien memberitahu pemberita beliau berhasrat untuk menguar-uarkan lagi Aplikasi Mobil Jejak Asnaf (MoJA), kepada orang ramai.

MoJA yang dilengkapi sistem pengesanan lokasi GPS membolehkan orang awam membantu Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP, mengesan dan melaporkan asnaf yang memerlukan bantuan di Wilayah Persekutuan. – Bernama

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *