Home » Langit Terbuka » Majlis Syura Ulama PAS batal tahaluf siyasi dengan PKR

Majlis Syura Ulama PAS batal tahaluf siyasi dengan PKR

BANGI, 11 Mei – Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang hari ini memutuskan hubungan politik tahaluf siyasi antara parti itu dengan PKR, terbatal.

Menerusi kenyataan di portal Harakah Daily, Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, keputusan itu ekoran daripada pelanggaran syarat-syarat tahaluf siyasi menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam.

“Antara perlanggaran tersebut ialah tidak menyokong, malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa oleh PAS seperti RUU 355.

“Kedua, melanggar adab-adab berkerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan-tuduhan palsu yang merosakkan imej PAS.

“Dan yang ketiga, khianat dalam hubungan politik dengan PAS, antaranya bekerjasama dengan pihak-pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Negeri Kelantan dan menentang PAS dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar,” kata Zawawi dalam kenyataan itu.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, sebarang tindakan politik termasuk urusan pentadbiran negeri Selangor diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan merujuk kepada maslahah dan kepentingan Islam dan rakyat.

Pada 30 April lalu, Muktamar PAS Ke-63 meluluskan usul supaya parti itu bertanding di kerusi PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dalam muktamar itu juga, usul supaya tahaluf siyasi dengan PKR diputuskan turut diluluskan.

Usul dikemukakan perwakilan daripada PAS Kawasan Kota Raja dan Kuala Terengganu, diluluskan tanpa bahas bersama tujuh lagi usul lain.- www.ismaweb.net

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *