Home » Langit Terbuka » Pemandu bunyi hon semasa solat Jumaat mohon maaf

Pemandu bunyi hon semasa solat Jumaat mohon maaf

JOHOR BAHRU 11 Mei – Pemandu kereta yang membunyikan hon sewaktu solat Jumaat di Surau Austin Perdana di sini minggu lalu sehingga dipukul jemaah surau berkenaan, hari ini tampil membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kejadian itu.

Pemandu kereta Toyota Camry itu, Toh Chai Eun, 28, yang ditemani abangnya, Toh Chai Chung, 30, membuat permohonan maaf itu ketika hadir dalam satu perjumpaan di Pejabat Agama Islam negeri.

Yang turut hadir pada perjumpaan itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut serta ahli jawatankuasa surau berkenaan.

Permohonan maaf secara terbuka itu dibacakan wakil Chai Eun, Mahadzir Abu Said yang menyatakan harapan agar kes tersebut dapat diselesaikan dan tidak menyinggung semua pihak dan Bangsa Johor.

“Saya tidak berniat jahat atau ingin menyinggung perasaan dengan membunyikan hon kereta pada masa itu.

“Apa yang berlaku pada waktu itu kerana saya telah terperangkap dalam kesesakan jalan di situ dan ada urusan yang penting,” katanya.

Dia turut menyatakan harapan agar kes tersebut tidak dipanjangkan atau disebarkan hingga mencetuskan ketidaksenangan kaum.

“Saya juga berharap semua pihak tidak lagi memanjangkan isu ini menjadi lebih besar demi keamanan dan keharmonian antara semua kaum di negara ini.

“Diharap selepas kenyata­an saya ini, tiada lagi ulasan dan cerita mengenai kejadian tersebut di media untuk tujuan menghasut rakyat dan menjejaskan perpaduan, kesejahte­raan dan keharmonian negara,” katanya.

Sementara itu Pengerusi su­rau, Mohd. Khaiidzir Ismail berharap kes berkenaan dapat diselesaikan secara keseluruhannya.

“Kami mengucapkan terima kasih atas pertemuan ini yang sememangnya tidak dijangka, Meskipun perkara ini berlaku di luar surau, kami sebagai jawatankuasa telah mengambil langkah-langkah yang perlu,” katanya.- https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *