Home » Langit Terbuka » Makkah, Madinah bukan pentas peraga fesyen dan kemewahan

Makkah, Madinah bukan pentas peraga fesyen dan kemewahan

Makkah dan Madinah adalah tempat suci untuk umat Islam datang beribadat serta mendekatkan diri kepada Allah.

SEREMBAN: Golongan selebriti yang berfesyen secara berlebih-lebihan dan memperagakan kemewahan ketika menunaikan ibadat di Makkah serta Madinah, ditegur supaya kembali kepada prinsip Islam sebenar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perbuatan itu yang dikongsi di laman sosial dan mendapat banyak ‘likes’ serta perkongsian, tidak selari dengan ajaran agama yang sebenarnya.

“Makkah dan Madinah adalah tempat suci untuk umat Islam datang beribadat serta mendekatkan diri kepada Allah. Jadi elemen yang boleh membawa kepada kesombongan, keangkuhan, riak dan sebagainya akan memusnahkan pahala ibadat.

“Kita kena kembali kepada prinsip Islam, bukan pergi ke sana memperagakan (fesyen dan aksesori) dan menjadikan ia viral untuk lebih masyhur,” katanya pada sidang media bersama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, selepas majlis Multaqa Murabbi Ummah di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai trend beberapa selebriti tempatan mengambil kesempatan bergambar dengan memperagakan fesyen terkini, termasuk aksesori berjenama mewah ketika menunaikan umrah di Makkah dan Madinah.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, masyarakat termasuk pengguna laman sosial perlu dididik supaya tidak mengagungkan golongan selebriti, lebih-lebih lagi yang menggunakan agama sebagai salah satu cara mempromosikan diri.

“Hari ini, kita bukan saja berdepan dengan selebriti biasa, malah yang lahir daripada program realiti TV agama. Mereka ini kadangkala melampaui batas dengan mengeluarkan pandangan agama atau fatwa melangkaui kuasa mufti atau tanpa merujuk pihak berkuasa agama.

“Jadi, masyarakat perlu dididik untuk menghormati pihak berkuasa agama dan berpandukan kepada keputusan atau fatwa dikeluarkan pihak terbabit,” katanya.

Terdahulu, pada majlis sama, Asyraf Wajdi dan Mohamad menyampaikan bayaran khas berjumlah RM1,000 kepada 1,200 imam, bilal, siak, guru KAFA dan guru takmir dari daerah Seremban.

Mohamad berkata, secara keseluruhan kira-kira 5,000 imam, bilal, siak, guru KAFA dan guru takmir di seluruh negeri akan menerima bayaran khas itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2018.

“Bayaran ini dibuat dua kali iaitu RM1,000 pada awal tahun, manakala RM500 lagi akan dibayar menjelang Aidilfitri nanti,” katanya.- BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *