Home » Langit Terbuka » Kenyataan Monalo melampaui batas

Kenyataan Monalo melampaui batas

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar. Foto : Menara

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) meminta semua pihak memahami sejarah, norma budaya dan sistem yang sudah lama diamalkan di Malaysia terlebih dulu sebelum memberi sebarang pandangan penambahbaikan kepada negara ini.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar , berkata pihak yang lantang mengeluarkan kenyataan berhubung amalan yang sudah dilaksanakan di negara ini, dianggap keterlaluan.

Susulan itu, beliau berkata, kenyataan wakil Filipina, Rosario G Manalo yang dilaporkan sebuah portal menyebut Malaysia sepatutnya menjadi negara republik dan bukannya teokratik sangat melampaui batas.

Katanya, ia membawa maksud raja-raja Melayu perlu dihapuskan kerana Malaysia mengamalkan negara republik, selain mendakwa Malaysia mengakui sebuah republik.

“PPMM ingin menegaskan tidak ada dalam mana-mana catatan sejarah Malaysia bercita-cita menjadi sebuah negara republik.

“Malaysia juga tidak pernah mendakwa sebagai sebuah republik. (Sebaliknya) Malaysia menjunjung jati diri sebagai negara berteraskan Raja Berperlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen diamalkan di negara ini tidak pernah dicabar mana-mana rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zainul Rijal berkata, sekiranya kenyataan Manalo ini dibuat di Malaysia, ia boleh diklasifikasi sebagai menghasut.

Malah, beliau berkata, kenyataan Manalo jelas menzahirkan hasrat beliau mahu campur tangan dalam kedaulatan Malaysia.

Katanya, PPMM menegaskan demokrasi masih subur diamalkan di negara ini walaupun Malaysia sebuah negara Islam.

“Malaysia bukan negara teokrasi sebagaimana difahami Barat tetapi sebuah negara Islam yang menjadi contoh kepada negara Islam lain.

“Demokrasi adalah kaedah pentadbiran negara, manakala Islam adalah agama Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan juga memberikan banyak keistimewaan untuk mengamalkan agama Islam, di samping tidak menganiaya orang lain berasaskan gender, ras atau agama,” katanya.

Beliau berkata, jika laporan media itu benar, PPMM amat kesal kerana sebagai wakil negara jiran, Manalo langsung tidak mengetahui sistem diamalkan di Malaysia dan tidak dapat membezakan antara demokrasi dan republik.

“Ini amat memalukan apatah lagi kenyataan dikeluarkan wakil negara jiran. Sebagai negara anggota ASEAN yang mengamalkan prinsip tidak campur tangan hal dalam negara anggota lain, tindakan Manalo sangat keterlaluan.

“Jadi, PPMM mendesak Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bertegas dan memanggil Duta Filipina ke Malaysia serta memberi amaran keras supaya rakyat mereka menghormati kedaulatan negara, tidak campur tangan, menghasut dan faham sistem perundangan serta kenegaraan Malaysia,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *