Beliau berkata, Malaysia mempunyai Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) yang ditubuhkan pada 2010 dengan kerjasama 12 bank pusat sedunia yang fungsinya adalah bagi mempelopori inisiatif kerajaan melibatkan pembangunan kewangan Islam di peringkat antarabangsa.

“Menurut Laporan Pembangunan Kewangan Islam oleh Thomson Reuters pada 2018 menunjukkan Malaysia kekal sebagai peneraju bagi 56 negara bagi institusi kewangan Islam.

“Ini menunjukkan penubuhan perbadanan itu pada 2010 yang menjadi ‘frontier’ kerajaan bagi membangunkan kewangan Islam negara ini di peringkat antarabangsa adalah langkah tepat dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab kewangan Islam global terbaik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini (22 April).

Beliau menjawab soalan Senator Asmak Husin mengenai langkah-langkah kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Kewangan Islam Global yang terkemuka di dunia.

Amiruddin berkata, Bank Negara Malaysia juga dilantik menjadi pengatur dan pengurus utama sukuk berdaulat untuk negara lain antaranya Turki dan Hong Kong yang mana ia turut membuktikan Malaysia kini semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk menjadi peneraju hab kewangan Islam antarabangsa. – Bernama