Home » Langit Terbuka » Malaysia, Jepun Luaskan Kerjasama Pelbagai Bidang

Malaysia, Jepun Luaskan Kerjasama Pelbagai Bidang

DR Wan Azizah bersalam ketika menerima kunjungan hormat Dr Makio Miyagawa di Bangunan Putra Perdana.

PUTRAJAYA – Malaysia dan Jepun berminat untuk meluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk pengurusan bencana dan dasar perlindungan sosial, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Jepun mempunyai banyak pengalaman dalam mengurus bencana dan ia adalah antara bidang yang boleh dimanfaatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Ini termasuk latihan dan perkongsian ilmu dalam beberapa perkara seperti teknologi amaran awal, membantu meramal, membuat persiapan berkaitan bencana serta perancangan awal cara menangani bencana besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Duta Besar Jepun di Malaysia, Dr Makio Miyagawa, yang melakukan kunjungan rasmi terhadap beliau di pejabatnya di sini.

Dr Wan Azizah berkata, beliau dimaklumkan bahawa Jepun kini memiliki satu sistem tindak balas menyeluruh bagi menghadapi kejadian gempa bumi dahsyat.

“Selain itu, (kita memerlukan) kepakaran bagi mengurangkan risiko bencana sejak peringkat awal lagi dan menganjurkan latihan berskala besar untuk meningkatkan kesiapsiagaan kita dalam bertindak balas terhadap bencana,” katanya.

Tambah Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia juga boleh mendapatkan sokongan dan bantuan Jepun dalam perkara berkaitan penduduk berusia lanjut serta pembangunan kepimpinan wanita.

“Malaysia, yang akan mempunyai penduduk berusia lanjut menjelang 2030, ingin mengetahui dengan lebih mendalam mengenai dasar perlindungan sosial Jepun serta memanfaatkan pengalaman negara itu dalam mengurus penduduk berusia lanjut.

“Kami juga berbincang mengenai kemungkinan mengadakan latihan dan pertukaran dua hala dalam bidang kepimpinan wanita.

“Saya gembira apabila mengetahui Jepun terus komited untuk memberi sokongan dan bekerjasama rapat dengan kami serta percaya akan terus menikmati hubungan yang memberi manfaat bersama,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata Malaysia berterima kasih atas sokongan yang diberi institusi Jepun, termasuk Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan Yayasan Jepun.

“Mereka begitu giat memberi bantuan untuk menyokong pelbagai projek di Malaysia, banyak pegawai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjalani latihan dengan tajaan JICA, kami amat berterima kasih atas semua bantuan itu.

“Jepun, yang juga rakan rapat Malaysia dan ASEAN, memainkan peranan utama dalam pembangunan Malaysia, syarikat Jepun terus menjadi pelabur utama di Malaysia, manakala banyak rakyat Malaysia mendapat pendidikan di Jepun,” katanya.

Beliau berkata selain memperoleh banyak perkakasan dari Jepun, syarikat Malaysia juga mendapat manfaat daripada pembelajaran dan mengamalkan kaedah pengurusan Jepun, termasuk kitaran kawalan kualiti dan sistem pengeluaran, yang sentiasa menjadi amalan kebanyakan syarikat di Malaysia.

Sementara itu, Miyagawa berkata beliau mengadakan perbincangan yang amat bermanfaat dengan Dr Wan Azizah.

Katanya, Jepun bersedia menawarkan teknologi, pengetahuan dan kepakaran dalam bidang pengurusan bencana, termasuk pengesanan awal banjir di Malaysia.

Katanya, Jepun juga akan berkongsi pengalamannya dan membantu negara ini dalam bidang berkaitan penduduk lanjut usia dan jelas beliau, walaupun perkara itu belum mencapai peringkat meruncing, terdapat keperluan untuk membuat persiapan mengenainya.

“Kami amat gembira jika dapat terus terbabit dengan usaha menawarkan pembangunan sumber manusia, pemindahan teknologi dan kerjasama dengan syarikat tempatan Malaysia supaya Malaysia boleh menjadi peneraju yang berwibawa di Asia Tenggara,” katanya.  – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *