Home » Langit Terbuka » Malaysia kekal dengan pendirian tegas terhadap Israel

Malaysia kekal dengan pendirian tegas terhadap Israel

Menteri Luar berkata, turut diputuskan ialah wakil Israel tidak dibenarkan masuk ke negara ini untuk menghadiri sebarang acara sama ada bertaraf antarabangsa, sukan atau sebarang program lain. - Foto Malay Mail

PUTRAJAYA – Kabinet memutuskan Malaysia tidak akan menjadi tuan rumah untuk sebarang program atau acara termasuk sukan yang membabitkan penyertaan warga negara Israel.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata ia satu daripada dua keputusan penting yang dibuat Jemaah Menteri pada mesyuarat Kabinet berkaitan hubungan Malaysia dengan Israel, dua minggu lalu.

Katanya, turut diputuskan ialah wakil Israel tidak dibenarkan masuk ke negara ini untuk menghadiri sebarang acara sama ada bertaraf antarabangsa, sukan atau sebarang program lain.

“Sebelum pentadbiran kerajaan baharu, difahamkan ada tiga mesyuarat Kabinet yang buat keputusan penting tentang hubungan Malaysia dengan Israel.

“Bagi keputusan Kabinet dua minggu lalu, saya kira adalah pendirian paling tegas (membabitkan hubungan Malaysia dan Israel,” katanya pada sidang media selepas menerima memorandum daripada 43 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro pembebasan Palestin di sini hari ini.

Terdahulu, Saifuddin menerima memorandum yang diserahkan Pengerusi Boycott Divesment Sanctions (BDS) Malaysia, Prof Dr Mohd Nazari Ismail yang menyatakan sokongan terhadap tindakan Kerajaan Malaysia yang tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menegaskan kerajaan tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung bermula 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Tindakan Malaysia tidak membenarkan atlet Israel menyertai kejohanan itu yang mengundang bantahan Jawatankuasa Olimpik Israel yang memberi tekanan berterusan kepada penganjur agar atlet mereka diberikan visa.

Ini memandangkan kejohanan itu dikatakan sebagai platform penting bagi kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *