Home » Langit Terbuka » Malaysia mahu buka pejabat kedutaan di Palestin

Malaysia mahu buka pejabat kedutaan di Palestin

Menteri Luar berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat berkenaan cadangan menubuhkan kedutaan pertama Malaysia di Ramallah, pusat pentadbiran Palestin. - Foto Utusan Borneo

KUALA LUMPUR – Malaysia kini bercadang membuka kedutaannya di Palestin bagi mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dengan republik Islam itu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat berkenaan cadangan menubuhkan kedutaan pertama negara ini di Ramallah, pusat pentadbiran negara Palestin seperti Emiriah Arab Bersatu yang sudahpun mempunyai pejabat diplomatik di sana.

“Cadangan penubuhan pejabat kedutaan Malaysia di Palestin adalah pendekatan yang dilihat munasabah memandangkan isu Palestin adalah sangat penting bagi negara kita.

“Dalam hal ini, pihak Kementerian Luar Negeri telah memulakan usaha mengumpul maklumat-maklumat penting berhubungan cadangan ini serta mendapatkan pandangan serta pengalaman daripada pihak-pihak yang mempunyai pejabat atau wakil di Palestin itu sendiri,” katanya.

Saifudin berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang bertanyakan mengenai cadangan menubuhkan kedutaan di negara itu sebagai penyataan tegas terhadap komitmen Malaysia untuk terus mengiktiraf kewujudan Palestin.

Ketika ini, Malaysia hanya mentauliahkan Duta Besar di Kaherah, Mesir untuk urusan berkaitan dengan negara Palestin itu sendiri.

Ramallah terletak di Tebing Barat dan merupakan kawasan yang masih dikira sebagai wilayah diduduki regim Zionis Israel yang mengehadkan hubungan negara lain dengan Palestin.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota turut menyatakan Malaysia akan terus memberi komitmen menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam konflik antara mereka dan Israel.

“Kerajaan Malaysia mempunyai dasar yang konsisten terhadap isu penindasan secara berterusan oleh Israel ke atas rakyat Palestin.

“Kerajaan sentiasa memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya, baik dari segi politik, ekonomi, moral dan termasuklah juga yang menghulurkan pelbagai jenis bantuan,” katanya. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *