Home » Langit Terbuka » Malaysia tidak iktiraf keputusan AS kenakan sekatan Unilateral – PM Anwar

Malaysia tidak iktiraf keputusan AS kenakan sekatan Unilateral – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. — Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mengiktiraf keputusan mana-mana negara termasuk Amerika Syarikat yang mengenakan sekatan secara unilateral terhadap individu, agensi atau negara lain yang memberi sokongan kepada Hamas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sebaliknya pendirian Malaysia hanya mengiktiraf keputusan yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bersifat multilateral.

“Pertamanya, kita tidak bersetuju dengan cara yang dibuat Amerika Syarikat dan keduanya, ia tidak mempengaruhi dasar dan keputusan kita,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang ingin tahu pendirian kerajaan berhubung tindakan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang meluluskan Rang Undang-Undang Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas untuk mengenakan sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas serta pergerakan Jihad Islam Palestin baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata beliau telah menghubungi beberapa negara sahabat dan negara Islam yang turut memberi pandangan sama dengan Malaysia untuk tidak mengiktiraf perkara itu.

Anwar berkata Malaysia tidak menganggap Hamas sebagai badan pengganas dan memberikan perbandingan serta rasional yang jelas seperti bekas Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela dan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) yang dijajah melalui program Apartheid.

Palestin pula, kata beliau dijajah dengan Dasar Apartheid, pembersihan etnik dan pembunuhan beramai-ramai.

“Walaupun kita tidak perakui Statut Rome, maknanya kita tidak boleh bawa kes ini ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa tetapi arahan kita jelas, kita akan beri sokongan kepada mana-mana negara termasuk Palestin dalam membawa kes penjajahan, kezaliman dan penindasan kepada rakyat Palestin,” kata Anwar.

Menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal berhubung tindakan yang akan dikenakan kepada media tempatan yang melabel Hamas sebagai pengganas, Anwar berharap pihak media mempunyai kesedaran untuk memahami sensitiviti dan mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk membantah dan bertindak.

Sementara itu, Anwar turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang mengaitkannya dengan Israel dan mengeluarkan kenyataan biadap dan melanggar tatasusila.

“… Ketua Dewan Ulama (PAS) gunakan Harakah kaitkan saya dengan Israel. Ini satu kenyataan yang biadab yang melanggar tatasusila, fitnah yang guna serban… dan saya bantah keras-kerasnya dan kalau diulang, saya akan ambil tindakan keras terhadap sesiapa yang menggunakannya.

“Ini yang saya sebut ‘membina mahligai atas pusara’, orang mati. Kita kerja setiap hari, minta OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) adakan sidang, bawa China, Rusia, Brazil, Ireland, Bolivia, bincang dengan Jepun, dengan duta Belanda tetapi sewenangnya memberi hukuman biadap dan kurang ajar,” kata beliau.

Sehubungan itu. Anwar menyeru semua parti dan rakyat agar harus bersolidariti dalam isu Palestin dan tidak mempermainkannya sebagai bahan politik. — AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *