Home » Langit Terbuka » Rang Undang-Undang sekat sebar agama lain kepada orang Islam sedang diusahakan

Rang Undang-Undang sekat sebar agama lain kepada orang Islam sedang diusahakan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ketika menghadiri persidangan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. – Bernama

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dijangka akan dibentangkan tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata usaha ke arah penggubalan RUU itu sedang giat dijalankan dan beliau menegaskan pihaknya langsung tidak mempunyai niat untuk memberhentikannya seperti yang dimomokkan sesetengah pihak.

“Kalau kerajaan sebelum ini berusaha (menggubal akta ini), kita pun berusaha… kita akan teruskan akta kawalan agama bukan Islam kepada orang Islam, bagi menjamin akidah orang Islam dengan adanya kawalan berkenaan. Ketika ini prosesnya masih di peringkat kajian Jabatan Peguam Negara.

“Apabila ia sudah diluluskan (Jabatan Peguam Negara) saya sebagai menteri yang bertanggungjawab akan bawa RUU ini untuk mendapat persetujuan kabinet,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Zakat 2023 di sini hari ini..

Sebelum ini Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail ketika mengambil bahagian dalam perbahasan di Parlimen meminta kerajaan supaya menyegerakan pembentangan RUU Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) yang pernah dicadangkan PAS sebelum ini.

Zulkifli berkata undang-undang syariah peringkat Persekutuan diperlukan supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diberi kuasa menyiasat aduan berhubung dakwaan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

Sementara itu Mohd Na’im berkata pihaknya tidak menerima sebarang tekanan oleh mana-mana pihak dalam memartabatkan lagi syiar Islam di negara ini.

Beliau berkata semua pihak dalam kerajaan MADANI menghormati dan mengiktiraf agama Islam sebagai agama persekutuan seperti yang tertakluk dalam perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. — AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *