Home » Langit Terbuka » Malaysia yang pertama wujudkan Standard Program Pengajian Halal

Malaysia yang pertama wujudkan Standard Program Pengajian Halal

Menurut MQA, standard program itu berpandukan kepada tujuh bidang jaminan kualiti di Malaysia serta menepati kehendak dan keperluan Kerangka Kelayakan Malaysia. - Foto hiasan GPS Bestari

KUALA LUMPUR – Malaysia muncul sebagai negara pertama di dunia yang mengemukakan Standard Program untuk pengajian halal.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata pengajian halal mempunyai permintaan tinggi bukan hanya di negara bukan Islam seperti China dan India, malah juga di Asia Barat.

Jadi, kata beliau, institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan perlu merebut kesempatan ini untuk menawarkan program yang berkaitan dengan pengajian halal.

“Menerusi penawaran itu dijangkakan akan menarik lebih ramai pelajar antarabangsa ke negara ini selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.

“Kita perlu pantas dalam hal ini sebelum negara lain membuat deklarasi bahawa mereka adalah peneraju atau juara dalam pengajian halal ini,” katanya dalam satu kenyataan pada 16 Mei.

Pihak MQA telah berkolaborasi dengan pihak-pihak berkepentingan, ahli panel penilai termasuk industri untuk membangunkan dokumen jaminan kualiti iaitu Standard Program: Pengajian Halal.

Standard program itu berpandukan kepada tujuh bidang jaminan kualiti di Malaysia serta menepati kehendak dan keperluan Kerangka Kelayakan Malaysia.

Setakat Disember tahun lalu, terdapat 21 IPT menawarkan 53 program berkaitan halal yang mendapat akreditasi daripada MQA di peringkat diploma hingga doktor falsafah.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, standard itu menggariskan standard minimum pelbagai keperluan khusus bagi program berkaitan halal sebagai rujukan kepada IPT dalam penawaran dan jaminan kualiti program pengajian di Malaysia.

Katanya, dokumen itu turut digunakan oleh pegawai dan Ahli Panel Penilai MQA dalam penilaian akreditasi program berkaitan halal.

“Pengamalan proses jaminan kualiti yang tepat, teratur, konsisten dan berpandukan standard program dapat menghasilkan graduan program berkaitan halal yang berkualiti.

“Bagaimanapun, IPT yang menawarkan program berkaitan halal tetap tertakluk kepada penggunaaan standard program ini dalam penyediaan dokumen permohonan Akreditasi Sementara dan Akreditasi Penuh,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *