Home » Langit Terbuka » Maqasid syariah dalam tadbir urus kerajaan

Maqasid syariah dalam tadbir urus kerajaan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam Program Town Hall Rahmatan Lil ‘Alamin di Labuan.

LABUAN – Maqasid Syariah akan diguna pakai dalam semua urus tadbir Kerajaan Persekutuan dalam usaha memandu program pembangunan negara yang akhirnya memberi rahmat dan keadilan kepada seluruh rakyat di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, dasar pentadbiran baru yang mempunyai lima prinsip ini sedang diperjelaskan di seluruh negara termasuk di daerah terpilih.

Lima prinsip itu adalah menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta yang menjadi asas kukuh dalam mentadbir urus sesebuah Negara.

“Setakat ini, Maqasid Syariah ini telah kita guna pakai dalam urus tadbir di semua agensi di bawah saya, sebab itulah kita wujudkan Jabatan Maqasid dan ianya mula diterima baik oleh pelaksana dan penerima (khidmat kerajaan),” katanya kepada pemberita selepas Program Town Hall Rahmatan Lil ‘Alamin dan Pelancaran Program Dakwah Kawasan Operasi Peringkat Kementerian Pertahanan Malaysia di Dewan Darul Kifayah pada 19 Ogos.

Katanya, program jelajah seluruh negara masih berlangsung dan Labuan adalah yang ke-10 beliau lawati untuk perjelaskan kepada umum dan pihak yang berkepentingan.

Dr Mujahid berkata, penggunaaan pakai dasar-dasar baharu pentadbiran Islam ini dalam kerajaan akan diperluaskan ke semua peringkat kementerian Persekutuan sahaja dan tidak terkecuali di kementerian yang dipimpin oleh menteri-menteri bukan beragama Islam.

“Saya telah berjumpa dengan menteri-menteri yang bukan beragama Islam berhubung dengan dasar-dasar Islam ini dan mereka tidak memberi sebarang halangan untuk diguna pakai di kementerian mereka,” katanya.

Penggunaan pakai dasar-dasar ini akan diberi perhatian sepenuhnya tahun ini dan usaha penerapan pemikiran akan digemblingkan bersama.

“Kita berusaha wujudkan maqasid-based governance yang telah kita uar-uarkan dan sebahagiannya kita guna-pakai dalam pentabiran peringkat kami,” kata Dr Mujahid.

Usaha sedang dilakukan untuk mendapatkan penarafan standard ke arah maqasid-based governance. Maqasid Syariah ini bukanlah isu semata-mata pentadbiran Islam tetapi ia adalah keperluan universal, katanya.

Dr Mujahid berkata, pihaknya tidak dapat memberi jangkaan bila dasar-dasar baharu Islam ini diguna pakai sepenuhnya dalam pentabiran Kerajaan Persekutuan, namun usaha kesedaran dan penerapan sedang giat dilakukan. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *