Home » Langit Terbuka » Mark Rutte tewaskan calon anti-Islam, EU

Mark Rutte tewaskan calon anti-Islam, EU

Kempen tutup masjid, haram penjualan al-Quran gagal

THE HAGUE 16 Mac – Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte berjaya mengetepikan pesaing uta­manya daripada parti berhaluan kanan yang dilabel anti-Islam dan anti-Kesatuan Eropah (EU), Geert Wilders, apabila parti beliau mendahului pencabar lain dalam pilihan raya umum negara ini, semalam.

Menurut pungutan suara oleh rangkaian penyiaran kebangsaan NOS, Parti Liberal (VVD) yang diketuai Rutte memperoleh 33 kerusi Parlimen, menjadikan parti itu mempunyai jumlah kerusi terbanyak berbanding Parti Kebebasan (PVV) pimpinan Wilders yang hanya mendapat 20 kerusi.

Jutaan pengundi Belanda membanjiri pusat pengundian semalam dengan jumlah keluar mengundi mencapai 81 peratus, antara yang tertinggi selepas 1977 dengan rekod 88 peratusan pengundi.

Belanda yang mempunyai sebanyak 12.9 juta pengundi berdaftar dengan 28 parti bertanding menjadi tumpuan kebanyakan pihak yang tertumpu kepada nasib Rutte dalam mengetepikan saingan parti Wilders.

Hal demikian kerana, keputusan mengejut pungutan suara Brexit dan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya Pre­siden Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu menjadikan pilihan raya Belanda menjadi ukuran kepada kekuatan populisme di rantau itu menjelang pilihan raya Pe­rancis dan Jerman tidak lama lagi.

Dengan keputusan tersebut, Rutte berpeluang untuk bergabung dengan Parti Demokratik Kristian (CDA) dan Parti Demokrasi (D66) yang ke­dua-duanya mempunyai 19 kerusi bagi membentuk sebuah kerajaan campuran.

Wilders dalam manifesto beliau berjanji untuk menutup sempadan Belanda kepada pendatang Islam, menutup masjid, mengharamkan penjualan al-Quran dan keluar daripada EU.

“Apa sahaja keputusan pilihan raya ini, ini tidak akan me­ngubah keadaan dan revolusi patrio­tik ini sama ada hari ini atau esok akan kekal,” katanya.

Kemenangan Rutte memungkinkan beliau menyambung penggal ketiga sebagai Perdana Menteri Belanda yang merupakan antara negara ekonomi terbesar di Eropah yang juga anggota pengasas EU.

“Ini merupakan pilihan raya penting kepada kita kerana merupakan satu peluang kepada negara demokrasi seperti Belanda untuk menghentikan kesan domino salah mengenai populisme,” katanya.

Sementara itu, pengundi wanita Islam di The Hague yang kebanyakan penduduknya ber­asal dari Turki dan Maghribi membanjiri pusat pengundian dengan memakai tudung di tengah-tengah kebimbangan terhadap sentimen anti-Islam di Belanda.

“Ibu saya tidak pernah mengundi sebelum ini namun kini dia menggalakkan kami satu keluarga untuk berbuat demikian kerana situa­si sekarang amat serius,” kata seorang pengundi yang tidak mahu nama­nya didedahkan. – AFP-https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *