Home » Langit Terbuka » Masa khutbah, solat Jumaat di Sabah dipendekkan

Masa khutbah, solat Jumaat di Sabah dipendekkan

Solat Jumaat akan ditunaikan dalam tempoh maksimum tujuh minit, menurut SOP baru mengawal penularan Covid-19 di Sabah. - Foto Al Hijrah Online

KOTA KINABALU – Masa khutbah dan solat Jumaat di Sabah dipendekkan masing-masing kepada maksimum 10 dan tujuh minit, bermula hari ini (28 Mei), bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19.

Prosedur operasi standard (SOP) baharu itu diputuskan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) sebagai panduan pelaksanaan aktiviti di masjid dan surau ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata azan Jumaat akan dikumandangkan mengikut waktu zohor.

Beliau berkata, selepas azan pertama dan solat sunat Qobliah, azan kedua akan terus dilaungkan dengan tempoh lebih pendek berbanding yang pertama.

“Khatib akan memendekkan bacaan khutbah pertama dan kedua membabitkan maksimum 10 minit seperti yang disediakan JHEAINS. Hanya penggunaan teks khutbah JHEAINS atau yang mendapat pengiktirafan dibenarkan.

“Solat Jumaat pula ditunaikan dalam tempoh maksimum tujuh minit. Imam membaca surah atau ayat pendek dan doa Qunut Nazilah.

“Selepas imam memberi salam, hanya wirid dan doa ringkas,” katanya dalam kenyataan.

Masidi berkata, jika ada jemaah disyaki atau disahkan positif COVID-19, masjid atau surau terbabit perlu melaksanakan proses sanitasi penuh, manakala jemaah lain diminta menjalani ujian saringan mengikut SOP Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, jumlah jemaah dibenarkan hadir di masjid atau surau pula dikekalkan mengikut kapasiti selepas mengambil kira penjarakan fizikal satu meter.

Bagaimanapun, katanya, kanak-kanak, golongan berisiko, bergejala dan masih dalam pemantauan atau siasatan COVID-19 adalah dilarang hadir.

Selain itu, jemaah diwajibkan membawa sejadah sendiri, digalakkan berwuduk dari rumah serta perlu mematuhi semua SOP ditetapkan di masjid dan surau, termasuk merekodkan kehadiran serta memeriksa suhu badan.

Arahan menggunakan sejadah dan telekung sendiri turut diwajibkan di bilik sembahyang semua premis perniagaan di negeri ini. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *