Home » Langit Terbuka » Masalah kesihatan, perubatan babit hukum Islam akan dibukukan

Masalah kesihatan, perubatan babit hukum Islam akan dibukukan

KUALA LUMPUR, 29 Sept.  – Sebuah buku berkaitan masalah kesihatan, dan perihal perubatan yang berkaitan dengan agama Islam akan diterbitkan tidak lama lagi.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, pihaknya kini dalam proses mengumpul serta menambah maklumat dan fatwa yang telah dikeluarkan berkenaan isu kesihatan terbaharu, termasuk mengenai virus Zika.

Buku itu berkonsepkan penjelasan secara ilmiah bagi menghilangkan kekeliruan masyarakat berhubung isu berbangkit melalui ulasan dan huraian beserta nas daripada al-Quran dan al-Hadis, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Jelajah Bicara Kesihatan Daripada Perspektif Syariah peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2016 di sini, hari ini.

“Antara kandungan yang telah dikenal pasti seperti fatwa yang telah dikeluarkan berkenaan hukum menghisap rokok elektronik (Vape), merokok dan hukum mendapatkan suntikan vaksin serta imunisasi,” katanya.

Beliau berkata, buku ini diharapkan dapat dijadikan rujukan orang ramai seterusnya membantu merungkai kekusutan mereka dalam mendapatkan sumber maklumat yang sahih mengenai perkara tersebut.

Zulkifli berkata, buku itu juga akan memasukkan hukum yang telah digariskan oleh pihaknya berkaitan isu semasa termasuk persoalan mengenai akidah, fiqh serta akhlak.

“Ia melibatkan tiga teras utama iaitu Bayan Linnas (keterangan isu semasa), Irsyad Al Fatwa (solusi permasalahan semasa) dan Al Kafi Li Al Fatawi yakni jawapan kepada pelbagai soalan lazim diajukan.

“Bagi memastikan segala fatwa serta maklumat disalurkan itu sahih, kita sentiasa bekerjasama dan merujuk kepada pihak Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini sebahagian informasi dan kandungan yang sudah dikumpul itu boleh didapati dalam laman web muftiwp.gov.my. – Bernama

Artikel Berkaitan

Tingkat kualiti pendakwaan syarie

SHAH ALAM – Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM) berupaya meningkatkan kualiti pendakwaan dan menyeragamkan proses penggubalan undang-undang syariah di negara ini.

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *