Home » Langit Terbuka » Rujuk pihak berkuasa jika keliru hukum mengenai vaksin dan imunisasi: Pakar

Rujuk pihak berkuasa jika keliru hukum mengenai vaksin dan imunisasi: Pakar

KUALA LUMPUR, 29 Sept. — Ibu bapa dan penjaga yang keliru berhubung hukum pengambilan vaksin dan imunisasi perlu merujuk kepada pihak berkuasa daripada membuat keputusan tanpa berdasarkan maklumat sahih.

Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa Sedunia Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Muhd Subri berkata, antara pihak yang boleh dirujuk ialah Jabatan Kesihatan serta Jabatan Mufti di setiap negeri bagi mendapatkan pandangan dari sudut agama.

“Kebanyakan penjaga yang enggan membenarkan anak mereka mendapat vaksinasi adalah kerana dipercayai terpengaruh dengan maklumat dan ideologi salah yang diperoleh di laman sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi anggota panel dalam sesi perbincangan sempena Seminar Jelajah Bicara Dari Perspektif Syariah peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2016, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ramai pengguna laman sosial di Facebook, Twitter termasuk aplikasi WhatsApp memuat naik dakwaan yang tidak tepat mengenai pengambilan vaksin dan imunisasi seperti risiko kecacatan bayi serta kononnya suntikan itu mengandungi bahan tidak suci.

“Justeru itu, langkah merujuk kepada pihak berwajib adalah pendekatan terbaik dalam mengelakkan ibu bapa terpedaya dengan maklumat palsu yang boleh membahayakan kesihatan anak mereka,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Pediatrik Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr Kamarul Azahar Mohd Razali berkata, ibu bapa tidak perlu khuatir akan keselamatan anak-anak mereka ketika mendapatkan suntikan.

“Semua bahan perubatan yang digunakan dalam proses suntikan itu telah melalui pelbagai ujian serta bebas daripada komponen tidak suci seperti didakwa sesetengah pihak,” katanya.

Menurut laporan media, Kementerian Kesihatan mencatat 500 kes penolakan untuk pengambilan suntikan vaksin dan imunisasi di seluruh negara antara Januari hingga Mac tahun ini.

Sementara itu, lima maut dan 28 lagi positif Diphteria dikesan di seluruh negara tahun ini kerana tidak menerima suntikan vaksinasi Difteria.

Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, ibu bapa yang enggan memberi suntikan vaksin dan imunisasi kepada anak mereka hingga boleh membahayakan kesihatan kanak-kanak lain boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) kerana menganiaya. — Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *