Home » Langit Terbuka » Masih kurang kesedaran bayar zakat harta di Selangor

Masih kurang kesedaran bayar zakat harta di Selangor

KUALA LUMPUR 11 Ogos – Kese­daran tentang kepentingan me­nunaikan kewajipan membayar zakat harta dalam kalangan umat Islam di Selangor didapati masih kurang memuaskan walaupun jumlah ku­tipan zakat me­ningkat setiap tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hussin Mohd. Ali berkata, terdapat banyak faktor yang dikesan menjadi punca mengapa masih ramai umat Islam di Selangor masih tidak membayar zakat harta masing-masing.

“Ramai yang anggap apabila bayar zakat fitrah kewajipan mereka telah selesai sebagai umat Islam.

“Mungkin kurang kefahaman mengenai apa itu zakat harta yang konsep­nya amat luas menyebabkan ramai dalam kalangan umat Islam yang mam­pu tidak menunaikan kewajipan tersebut,” katanya ke­tika ditemui pada sesi perbincangan mengenai zakat di Sela­ngor, di pejabat Majlis Perundi­ngan Melayu (MPM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hassan Mad serta Ahli Jawatankuasa Agihan Zakat Selangor, Datuk Ibrahim Md. Yusof.

Menurut Hussin, sepanjang 20 tahun beroperasi, LZS telah mengutip lebih RM3.8 bilion dan kutipan zakat telah meningkat secara positif setiap tahun berdasarkan ke­yakinan orang ramai terhadap institusi tersebut.

“Tahun lalu jumlah kutipan adalah RM627.2 juta, namun daripada tiga juta umat Islam Selangor hanya 256,001 orang merupakan pengeluar zakat harta.

“Jumlah keperluan asnaf di Selangor kini mencapai RM1 bilion dan kita hanya dapat mencapai jumlah tersebut pada 2019. Tidak mustahil jumlah tersebut berjaya dicapai awal jika kesedaran pembayar zakat meningkat,” katanya

– www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *