Home » Langit Terbuka » Masjid hasil pampasan 6 mangsa MH17 dibuka di Kuching

Masjid hasil pampasan 6 mangsa MH17 dibuka di Kuching

Kos pembinaan Masjid Al Ghazali yang terletak di Jalan Depo, Petra Jaya bernilai RM3.5 juta dengan sebahagian besarnya adalah daripada wang pampasan semua 6 mangsa yang maut dalam tragedi pesawat yang ditembak jatuh dekat sempadan Ukraine-Rusia, Julai 2014. - Foto SarawakVoice.com

KUCHING – Tanggal 13 Mei menjadi detik bermakna buat seluruh waris mangsa nahas kapal terbang MH17, Tambi Jiee dan Ariza Ghazalee apabila hasrat untuk membina sebuah masjid hasil daripada wang pampasan insiden itu terlaksana dan dibuka untuk awam semalam.

Kos pembinaan Masjid Al Ghazali dengan reka bentuk serba moden berwarna kelabu yang terletak di Jalan Depo, Petra Jaya bernilai RM3.5 juta dengan sebahagian besarnya adalah daripada wang pampasan semua 6 mangsa yang maut dalam tragedi pesawat yang ditembak jatuh dekat sempadan Ukraine-Rusia, Julai 2014.

Selain Tambi dan isteri, Ariza, ia turut mengorbankan 4 anak mereka Muhammad Afif, Muhammad Afzal, Marsha Azmeena dan Muhammad Afruz.

Bercerita kepada Bernama dalam temu bual eksklusif mengenai perancangan awal bagaimana tercetus idea untuk membina masjid, Pengerusi masjid itu, Sumardi Ghazalee yang juga adik bongsu Ariza, berkata semuanya bermula daripada ibu mereka yang ingin melihat wang yang diterima itu disalurkan kepada perkara yang memberi manfaat kepada semua arwah.

“Idea asal untuk membina masjid ini datangnya dari ibu kami yang ingin memanfaatkan wang pampasan berkenaan dan pada peringkat awal selepas berbincang bersama keluarga, tercetus idea untuk membina surau tetapi lokasinya belum diputuskan.

“Namun, pada masa itu saya sudah mengetahui terdapat satu tapak yang diluluskan untuk mendirikan surau di kawasan ini tetapi belum ada perancangan untuk mendirikannya dan dari situ kami berhubung terus dengan pihak Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais),” katanya yang mengikuti rapat perkembangan di kawasan itu sebagai seorang arkitek di Kuching.

Lebih menarik, penampilan rekaan masjid yang serba moden itu adalah hasil reka bentuk daripada Sumardi sendiri yang mencurahkan segala idea dan keringat untuk melaksanakan hasrat seluruh keluarganya itu.

“Kami memang sedih semasa menerima berita kematian semua Allahyarham, tapi dengan adanya wang pampasan itu kami sebagai keluarga mangsa berharap usaha ini dapat membantu mereka di alam sana.

“Jadi kami adik beradik semua sepakat dan sebulat suara untuk mendirikan masjid ini dan berharap agar ia dapat dimanfaatkan oleh penduduk di sekitar ini di samping memberi pahala yang berterusan untuk arwah,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan masjid itu sebahagian besarnya adalah wang pampasan yang diterima dan sebahagian lagi daripada orang awam yang berinfak dan mewakafkan serta terdapat juga sumbangan daripada pihak kerajaan negeri Sarawak.

“Perancangan awalnya pada 2015 iaitu mesyuarat jawatankuasa pembinaan yang pertama manakala pembinaannya bermula pada 2017, jadi keseluruhannya ia mengambil masa 4 tahun untuk disiapkan,” katanya yang berkongsi pelbagai program sudah direncana bagi mengimarahkan masjid itu.

Sumardi berkata banyak program yang dirancang antaranya kelas fardu ain, kelas mengaji untuk semua lapisan masyarakat bahkan mereka juga akan bekerjasama dengan Madrasah Darul Ulum Islamiyah Kuching untuk terlibat secara langsung bersama pihak masjid.

Sementara itu, beliau berkata buat masa ini tiada lagi lantikan imam dan bilal secara tetap kerana masjid ini belum mendapat kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat.

“Jadi kami belum mempunyai peruntukan untuk itu dan semua imam, bilal dan lain-lain adalah secara sukarela yang adalah ustaz-ustaz yang berada di dalam qariah ini.

“Kami masih dalam proses untuk mendapatkan kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat, namun terdapat beberapa kriteria yang diperlu dipenuhi antaranya kelulusan hanya diberikan apabila masjid-masjid di sekitar kawasan ini sudah tidak mampu lagi memuatkan jemaah ketika bersolat Jumaat,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata dari segi penyelenggaraan masjid pula, pihak pengurusan sememangnya mengharapkan derma daripada qariah di sini selain daripada sumbangan pihak pengurusan sendiri.

“Kita mengambil barkah pada bulan mulia ini untuk membuka masjid ini supaya orang ramai yang hadir berterawih di sini akan berterusan datang pada bulan yang lain selepas Ramadan,” katanya.

Masjid itu mampu memuatkan sehingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa manakala dewan solat utama mampu mengisi 300 orang.

Antara kemudahan di masjid ini ialah bilik pengurusan jenazah dan kediaman bagi imam yang bakal dilantik kelak.

Pihak pengurusan juga dalam perancangan untuk melakukan perasmian masjid itu dengan menjemput Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri, Abang Johari Openg dan kemungkinan diadakan dalam bulan Syawal nanti. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *