Home » Persuasif » Masjid Paris – pengiktirafan komuniti Islam Perancis

Masjid Paris – pengiktirafan komuniti Islam Perancis

PERANCIS merupakan antara negara paling banyak menerima pelancong daripada serata dunia kerana seni binanya yang unik seperti Menara Eifel dan bangunan istana lamanya yang tersergam indah.

Namun, di sebalik gaya seni bina bangunan Art Nouveau yang popular dalam abad ke-19 Masihi, terdapat sebuah senibina Islam yang menjadi pusat kegiatan masyarakat Islam di kota Paris, dikenali sebagai Mosquee de Paris atau Masjid Paris. Ia mengambil masa selama lebih kurang empat tahun untuk disiapkan dari 1922 hingga 1926.

Bangunan masjid ini bukan sekadar bangunan yang didirikan untuk umat Islam di Paris beribadah. Ia merupakan sebuah bangunan bagi memperingati dan menghargai pengorbanan lebih kurang 100,000 orang Islam dari tanah jajahan Perancis yang berkorban mempertahankan Perancis daripada serangan Jerman dalam Perang Dunia Pertama.

Masjid ini merupakan lambang pengiktirafan kerajaan Perancis ke atas bantuan masyarakat Islam terhadap negara tersebut.

Rumah Allah ini merupakan sebuah bangunan menggabungkan beberapa ciri senibina dunia Islam. Ia bersesuaian dengan kepelbagaian latar belakang masyarakat Islam yang berada di Paris dari dahulu sehingga ke hari ini.

Masyarakat Islam Perancis berasal dari beberapa kawasan bekas koloni Perancis dan kawasan Islam lain seperti Algeria, Mesir, Afrika dan India.

Ia mempunyai beberapa bahagian utama senibina tradisional Islam iaitu gerbang utama, menara azan, taman di halaman dalam, pancuran air dan dewan sembahyang.

Bangunan utama masjid ini memperlihatkan gaya bangunan yang dikatakan mirip dengan senibina Islam di Sepanyol manakala sebahagian lagi bangunan dalam kompleks ini lebih kepada seni bina moden yang ringkas sebagai tambahan kepada bangunan utama.

Antara ciri hiasan utama yang digunakan ialah ukiran stucco pada permukaan luar dan dalam bangunan masjid ini. Ukiran stucco merupakan pilihan terbaik kerana ia mempunyai sedikit persamaan dengan teknik hiasan digunakan pada bangunan di sekitar masjid.

Motif yang digunakan dalam ukiran stucco pada bangunan masjid ialah geometri, kaligrafi dan bunga-bungaan yang berulang.

Bahagian menara masjid yang berbentuk segi empat sama menjulang ke atas setinggi 33 meter. Selain daripada ukiran stucco, seni potongan dan susunan jubin berwarna turut digunakan bagi menghiasi bahagian dinding. Jubin berwarna warni dipotong dan kemudiannya disusun dalam corak geometri berwarna-warni.

Selain dinding, ia juga digunakan untuk menyerlahkan beberapa bahagian lantai seperti di sekitar kawasan pancuran air. Satu lagi kawasan yang menarik di dalam masjid ini ialah bahagian taman yang terletak di halaman dalam. Ia terletak berhadapan dengan gerbang utama masjid.

Taman ini dipenuhi dengan pelbagai pokok bunga dan buah-buahan serta pancuran air. Ia boleh dimasuki daripada beberapa bahagian lain seperti bahagian pentadbiran dan dewan sembahyang.

Dewan sembahyang masjid ini dikhaskan untuk jemaah lelaki manakala kawasan solat wanita terletak di bahagian bawah yang memberi lebih keselesaan kepada jemaah wanita untuk beribadah dan berehat.

Mosquee de Paris bukan sekadar masjid biasa tetapi merupakan lambang kewujudan masyarakat Islam Perancis yang bersama-sama dengan warga Perancis lain mempertahan dan membangunkan Perancis sehingga ke hari ini. Bagi generasi Islam Perancis hari ini, negara ini telah menjadi tanah tumpah darah mereka, tempat mereka lahir, membesar dan mencari rezeki.

– https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *