Home » Citra Yadim » Yadim Sabah anjur Karnival @MyMasjid Lahad Datu

Yadim Sabah anjur Karnival @MyMasjid Lahad Datu

KOTA KINABALU 30 Sept. – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zon Sabah akan menganjurkan program Karnival @MyMasjid peringkat Daerah Lahad Datu 2016 pada 2 dan 3 Oktober 2016 (bersamaan  1dan 2 Muharam 1438H) bertempat di perkarangan Masjid Ar-Raudhah Bandar Lahad Datu, Sabah.

Pengurus Eksekutif Yadim Zon Sabah, Samin Ongki berkata, selain Yadim, program berkenaan mendapat kerjasama daripada Pejabat Daerah Lahad Datu, Badan Dakwah Daerah Lahad Datu, Ahli Parlimen Silam, Pejabat Umno Bahagian Silam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Lahad Datu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Cawangan Sabah dan Masjid Ar-Raudhah Lahad Datu.

Beliau berkata, antara program yang akan diadakan sempena karnival berkenaan termasuk jualan dan pameran, program Basikal Amal, kunjungan ke Hospital Daerah Lahad Datu, derma darah, klinik solat, pertandingan hafazan dan kompang.

“Turut diadakan adalah Forum Anjung Taqwa @SabahFM yang akan disiarkan secara langsung oleh Radio SabahFM,’’ katanya.

Beliau berkata, Karnival @MyMasjid merupakan program Yadim yang diadakan secara berterusan di seluruh negara dan merupakan kesinambungan Program Dakwah Negara yang diadakan pada tahun 2014.

Menurutnya, melalui program itu, Yadim mahu menjadikan institusi masjid sebagai nadi utama dalam  mengimplementasi aktiviti-aktiviti kemasyarakatan khususnya dalam kegiatan dakwah serta mendekati anggota masyarakat setempat.

Katanya, karnival seumpama ini pernah dilaksanakan buat pertama kalinya di Sabah pada Disember 2015 bertempat di bandar Tawau dan secara keseluruhannya ia telah mendapat sambutan yang begitu baik daripada penduduk setempat.

“Objektif program adalah untuk menzahirkan peranan masjid sebagai nadi aktiviti dan penyatuan ummah dan menyemarakkan semangat dakwah di kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

“Program ini juga diharapkan dapat memupuk budaya tolong menolong dan mempertaut ukhuwwah Islamiah di kalangan masyarakat,’’ jelasnya.

Beliau berharap program yang dirancang itu akan memberi impak yang positif dalam melahirkan masyarakat yang berilmu dan beramal serta berupaya memperkasakan peranan institusi masjid dalam masyarakat.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *