Home » Analitis » Masjid tidak wajar jadi gimik politik

Masjid tidak wajar jadi gimik politik

sumber
KENYATAAN DAP dalam sebuah portal berkenaan hasrat mereka untuk membina sebuah masjid di Kampung Pasir Tumbuh di bawah Dun Nenggiri, Gua Musang hanyalah gimik politik untuk mencetuskan polemik dalam kalangan rakyat.
Hakikatnya, masjid tersebut sudah dibangunkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Cakna UT dengan sumbangan orang ramai.
Apa yang diperlukan segera hanyalah peruntukan tambahan bagi membaik pulih dan menyempurnakan masjid tersebut sebelum Hari Raya Aidilfitri. Perkara ini disahkan sendiri oleh Adun Nenggiri, YB Mat Yusoff Abdul Ghani yang telah pun berbincang dengan pihak NGO terbabit dan jawatankuasa masjid tersebut.
Pihak Adun telah membuat permohonan rasmi kepada Tabung Ihsan Pemulihan Masjid Banjir Kelantan di bawah inisiatif Biro Agama Badan Perhubungan Umno Kelantan. Penulis selaku pengerusi kepada Tabung Ihsan Pemulihan Masjid Banjir Kelantan dan juga Pengerusi Biro Agama Umno Kelantan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 sebagaimana dipohon. Isu ini juga  mendapat perhatian Datuk Seri Mustapa Mohamed selaku penaung kepada Tabung Ihsan Pemulihan Masjid Banjir Kelantan.
Sebagai makluman, tabung ini ditubuhkan sejak Januari 2015 dengan tujuan membaik pulih seluruh masjid dan madrasah di Kelantan yang memerlukan bantuan tanpa mengira ideologi dan fahaman politik.

Buat masa ini, tabung ini diselenggarakan oleh Yadim dengan pemantauan sebuah Lembaga Pemegang Amanah. Setakat penghujung Mei ini, 268 masjid dan madrasah (98 masjid dan 170 madrasah) telah dibaik pulih melalui tabung ini dengan kos semua RM4.3 juta.

Melihatkan isu pembinaan masjid ini, teringat penulis kisah sejarah baik pulih Kaabah yang dilakukan oleh kafir Quraish pada zaman Nabi Muhammad SAW (usia 35 tahun), sebelum diangkat ALLAH. Peristiwa baik pulih ini berlaku selepas kerosakan binaan Kaabah yang hampir runtuh akibat banjir besar di Makkah 25 tahun sebelum kelahiran Rasulullah SAW.
Lantaran itu, orang Quraisy yang menjadi penjaga dan penyelia kepada Kaabah terpaksa membina semula Kaabah demi menyelamatkannya daripada musnah. Proses membina semula Kaabah dilakukan dengan cara meruntuhkan Kaabah sedia ada yang kemudian membinanya semula.
Kaabah sebelum diruntuhkan adalah berbeza bentuknya dengan yang ada pada hari ini. Ia merupakan binaan yang juga termasuk dalam kawasan melengkung yang dikenali sebagai Hijir Ismail. Pada awalnya, mereka bersetuju agar sumber pembiayaan membaik pulih Kaabah tersebut hendaklah daripada sumber yang baik.
Namun, semasa proses membaik pulih Kaabah, mereka masih lagi kekurangan dana. Disebabkan itu, mereka tidak memasukkan kawasan yang dikenali sebagai Hijir Ismail itu sebagai sebahagian daripada binaan Kaabah. Ia adalah tempat asal Kaabah tetapi orang Quraisy meninggalkan binaannya.

Dengan itu, jadilah ukuran Kaabah yang selesai itu berbentuk empat segi seperti dilihat hari ini.

Berbalik kepada isu pembinaan masjid DAP tersebut, secara umumnya Islam tidak menegah kita menerima sumbangan daripada bukan Islam. Bahkan selama ini pun ramai kalangan bukan Islam yang menyumbang ke dalam pelbagai tabung untuk membantu mangsa banjir.
Bagaimanapun apa yang dibimbangkan jika pembinaan mahupun baik pulih masjid dilakukan bagi tujuan politik yang hanya mengundang kemurkaan ALLAH seperti Masjid Dhirar yang didirikan pada zaman Rasulullah oleh golongan munafik, sebagaimana firman ALLAH dalam Surah At-Taubah ayat 106:
“Dan (di antara orang munafik juga ialah) orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belah perpaduan orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi ALLAH dan Rasul-Nya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata: “Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata”. Padahal ALLAH menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta”.
Sedangkan tujuan pembinaan masjid dalam sejarah Islam adalah untuk bertakwa kepada ALLAH dan bukan untuk politik, sebagaimana firman ALLAH dalam Surah At-Taubah ayat 107:
“..Sesungguhnya masjid yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula wujudnya, sudah sepatutnya engkau (wahai Muhammad SAW) solat di dalamnya..”.
Justeru tidak wajar pihak DAP cuba memutarkan fakta dan sengaja bermain dengan sentimen umat Islam dengan mempolitikkan isu masjid yang merupakan rumah ibadah yang suci bagi umat Islam. Institusi masjid perlu kekal sebagai tempat yang bebas dari unsur politik.
Biarlah institusi masjid terus diurus dan dijaga kebajikannya oleh orang Islam sendiri. Mengumumkan pembinaan seolah-olah tidak mendapat pembelaan orang Islam sendiri hanyalah satu kenyataan yang memperlihatkan DAP sengaja meremehkan usaha umat Islam selama ini.
Sumber daripada www.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *