Home » Persuasif » Ramadhan dan penyusuan susu ibu

Ramadhan dan penyusuan susu ibu

Ibu mertua saya terkejut apabila saya maklumkan yang saya berpuasa walaupun saya baharu sahaja habis berpantang. Dia bimbang kalau-kalau bayi saya yang baharu berusia 3 bulan tidak akan dapat bekalan susu yang secukupnya. Katanya, kalau hendak berpuasa elok sediakan juga susu formula untuk stok bekalan bayi. Saya sudah tentunya tidak bersetuju kerana saya yakin yang saya boleh melakukannya.  Lalu, saya yakinkan dia, dengan izin Allah dan amalan pemakanan yang betul, saya pasti si kecil dapat menikmati susu badan sepenuhnya.

Ini merupakan stigma yang sering berlaku di kalangan masyarakat kita. Sudah sekian lama, masyarakat kita disogokkan yang puasa itu akan membantutkan pengeluaran susu badan para ibu. Disebabkan itu, para ibu pula mula rasa khuatir sekiranya susu badan tidak dapat dibekalkan kepada bayi mereka dan akan menyebabkan bayi mereka kelaparan dan meragam serta tidak menerima zat yang mencukupi.

Islam diturunkan sebagai agama yang sempurna dan memudahkan umatnya. Para wanita yang hamil dan menyusukan bayi diberikan keringanan untuk berbuka puasa kerana takut akan mendatangkan mudarat kepada diri dan kandungannya.

Namun, kita tidak boleh sewenang-wenangnya mempermudahkan perkara tersebut. Sewajarnya, para ibu pada hari ini sepatutnya sudah tidak lagi berfikiran sebegitu kerana pelbagai perbahasan dan perbincangan ilmiah telah dilakukan di dalam mengupas tentang isu ini. Para pakar penyusuan bersetuju bahawa puasa memang tidak menghalang seseorang ibu itu untuk menyusukan bayinya.

Kajian yang dijalankan di Afrika Barat mendapati bahawa berpuasa pada bulan Ramadhan tidak memberi kesan kepada pengeluaran susu ibu tetapi kemungkinan komposisi susu ibu tersebut akan berubah. Secara logiknya, ia bergantung kepada pemakanan ibu semasa bulan Ramadhan kerana nutrien susu adalah bergantung kepada pemakanan ibu. Seandainya pemakanan sihat dan sempurna yang diamalkan, ia tidak akan mengundang masalah terhadap komposisi susu tersebut tetapi jika terdapat kekurangan dalam pengambilan makanan, kemungkinan komposisi tersebut akan berubah.

Namun, ia tidak mendatangkan masalah terhadap kesihatan bayi. Ini kerana, ia boleh dilihat sebagai suatu kitaran iaitu, ibu- ibu boleh menggantikan makanan atau zat yang tidak cukup tersebut selepas waktu berbuka. Selagi mana pemakanan sihat diutamakan, tiada masalah yang perlu dibimbangkan buat ibu dan bayi yang menyusu.

Punca berlakunya stigma tersebut adalah disebabkan kerana kita tidak makan dan minum sepanjang lebih kurang 12 jam sehari. Dan disebabkan itu, air di dalam badan akan berkurangan dan sedikit sebanyak akan menganggu pengeluaran susu.

Pengalaman saya sendiri yang perlu mengepam susu untuk bekalan anak di taska, dapat melihat susu yang dipam bertambah banyak pula daripada hari biasa walaupun ketika itu sedang berpuasa. Oleh sebab itu, saya berasa sangat bersemangat untuk menyediakan bekalan susu anak dan yakin di bulan yang penuh kerahmatan ini, rezeki Allah datang dalam pelbagai bentuk termasuk rezeki susu badan untuk anak.

Bagi memastikan para ibu tidak mengalami dehidrasi, para ibu disarankan untuk minum air yang mencukupi iaitu mengikut keperluan badan masing-masing sepanjang malam hingga waktu bersahur. Selain itu, boleh juga mencuba petua dengan mengisar kurma, kismis dan susu segar. Selain kurma dan susu yang memberi tenaga, ia juga boleh menambah susu badan.

Sesungguhnya, setiap ciptaan Allah itu hebat. Dalam satu penyelidikan yang dijalankan di Amerika Syarikat juga menunjukkan tiada kesan yang signifikan terhadap pengurangan susu ibu semasa berpuasa di bulan Ramadhan. Badan wanita yang menyusukan bayi akan membuat beberapa penyesuaian metabolik semasa berpuasa untuk memastikan agar pengeluaran susu ibu tidak terganggu.

Sebenarnya, para ibu perlu menanam keyakinan dan berfikiran positif yang bayi akan dapat menyusu dengan secukupnya. Rugi pula sekiranya puasa di bulan Ramadhan yang hadir selama sebulan sahaja dalam setahun ini disia-siakan. Kita yakin kita berkemampuan tetapi terikut-ikut dengan kepercayaan lantas meninggalkan ibadah puasa.

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *