Ini menjadikan MASkargo sebagai syarikat logistik udara yang pertama di dunia mendapat sijil halal.

Ketua Pegawai Eksekutif, MASkargo Ibrahim Mohamed Salleh berkata, perkhidmatan baharu itu disediakan untuk memenuhi keperluan industri halal bagi pengendalian kargo udara yang boleh dipercayai, selamat dan terjamin.

“Sasarannya adalah untuk memenuhi bahagian keperluan rantaian pembekalan halal, dan kami melakukan ini dengan mengekalkan integriti halal bagi penghantaran rantaian pembekalan.

“MASkargo juga menyasarkan untuk mewujudkan kelebihan kompetitif untuk negara sebagai koridor halal utama yang akan meningkatkan rangkaian perdagangan berkaitan perniagaan halal di seluruh dunia,” katanya pada pelancaran perkhidmatan baharu itu di sini.

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

MS2400 menetapkan syarat sistem pengurusan yang menjamin integriti halalan-toyyiban barangan dan/atau kargo dikendalikan menerusi pelbagai kaedah pengangkutan.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, MASkargo telah melabur kira-kira RM500,000 bagi perkhidmatan baharu itu yang menawarkan pergerakan, penyimpanan dan pengendalian bahan makanan dan bukan makanan secara bersih dan terjamin.

Selain memenuhi syarat ketat, MASkargo turut menawarkan kemudahan tambahan untuk memenuhi keperluan dalam memastikan pembahagian dan pemisahan antara penghantaran halal dan bukan halal.

Bersempena pelancaran itu, MASkargo juga menandatangani perjanjian dengan pelanggan pertamanya – Sejung Group, Korea, Nippon Express (Malaysia), Hab Halal Labuan dan Serunai Commerce.

Sementara itu, Mujahid berharap pensijilan halal diperoleh MASkargo akan mendorong syarikat logistik udara yang lain untuk mendapatkan sijil halal, dan bersama-sama menerokai peluang dalam pasaran halal dunia.

Menurut laporan International Market Analysis Research (amp) Consulting Group, nilai pasaran halal global diunjurkan mencecah US$2.6 trilion pada 2023. – Bernama