Saifuddin dalam satu kenyataan berkata beliau hadir dalam pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu di Vladivostok pada 5 September.

Beliau berkata Dr. Mahathir secara ringkas dan jujur menyatakan perkara yang berlaku semasa pertemuannya dengan Modi.

Dr. Mahathir dalam jawapan kepada pertanyaan media tentang Zakir menegaskan bahawa Modi tiada membuat permintaan untuk Zakir diekstradisi.

“Beliau (Modi) ada menyebut Zakir Naik. Tetapi, beliau tidak meminta Zakir Naik dihantar ke India,” kata Dr. Mahathir dalam sidang akhbar selepas melancarkan Rangka Kerja Dasar Luar Negara Baru Malaysia pada Rabu.

Menteri Hal Ehwal Luar India S. Jaishankar bagaimanapun dilaporkan berkata Modi telah membahas topik ekstradisi Zakir dengan Dr. Mahathir.

“Saya pasti dapat menjamin kebenaran ini kerana saya sendiri hadir dalam pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu, sedangkan rakan sejawatan saya Menteri Hal Ehwal Luar India tidak,” kata Saifuddin berikutan komen tidak ramah yang dibuat oleh beberapa pihak meragui fakta dan kebenaran yang dituturkan oleh Dr. Mahathir.

Saifuddin menggesa pihak-pihak tidak membuat spekulasi dan membuat dakwaan yang tidak berasas.

“Malaysia dan India mempunyai hubungan yang kuat dan komprehensif selama lebih dari enam dekad. Hubungan pelbagai fungsi yang kuat ini saling menguntungkan rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Saifuddin berkata komen-komen itu bukan sahaja sinis dan mengelirukan tetapi juga jauh daripada kebenaran.

“Komen-komen itu, oleh itu, tidak sepatutnya diucapkan,” katanya. – Bernama