Home » Langit Terbuka » MATTA mohon tambahan kuota syarikat urus jemaah haji

MATTA mohon tambahan kuota syarikat urus jemaah haji

Umat Islam di negara ini juga harus diberi kesedaran supaya membuat tempahan pakej haji dan umrah menerusi syarikat PJH serta ejen pelancongan yang sah - Foto Arkib

GEORGETOWN: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) masih berbincang bersama beberapa kementerian berhubung Akta Tabung Haji 1995 yang antara lain bagi membuka lebih kuota kepada agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam pengurusan jemaah haji.

Setakat ini, Lembaga Tabung Haji (TH) hanya memberi kepercayaan kepada 22 syarikat pelancongan menjadi Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk menyantuni jemaah bagi menunaikan ibadah itu.

Bendahari Kehormat MATTA, Nigel Wong, berkata pihaknya sudah mengadakan beberapa perjumpaan dengan pihak berkaitan bagi membincangkan isu itu, namun setakat ini belum ada sebarang kata putus.

Katanya, isu berkenaan membabitkan beberapa kementerian termasuk TH dan prosesnya mungkin mengambil sedikit masa untuk diketahui keputusannya.

“Kita berharap permohonan yang diusulkan itu akan mendapat pertimbangan pihak berkaitan.

“Inisiatif ini secara tidak langsung dapat mengelak umat Islam di Malaysia daripada terpedaya dengan sindiket penipuan pelancongan membabitkan umrah dan haji,” katanya selepas majlis perasmian Pulau Pinang sebagai rakan kongsi pertama membabitkan platform MATTA Online di Ozo hotel di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin.

Mengikut Seksyen 27 dan 34 Akta Tabung Haji 1995, menegaskan hanya pihak TH saja yang diberi kelayakan bagi mengeluarkan lesen haji yang sah dan diluluskan pihak Arab Saudi.

Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) sebelum ini menggesa supaya amalan ‘Kartel TH’ dalam soal pemilihan agensi pelancongan untuk menjadi PJH dapat dihapuskan.

Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham, menyarankan setiap agensi pelancongan yang diberi kelulusan PJH diulang ganti setiap dua tahun sekali.

Media tempatan pada 13 Julai lalu melaporkan Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang meluahkan rasa bimbang susulan penipuan pakej haji palsu semakin meningkat dan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas bagi mengelak isu itu berulang.

Mengulas lanjut, Nigel berkata, umat Islam di negara ini juga harus diberi kesedaran supaya membuat tempahan pakej haji dan umrah menerusi syarikat PJH serta ejen pelancongan yang sah.

“Ia juga dapat memudahkan pihak MATTA mengawal selia dan memberi bantuan menyeluruh sekiranya terdapat perkara tidak diingini berlaku.

“Kita bimbang penipuan haji dan umrah akan terus berulang jika tiada tindakan tegas diambil penguat kuasa yang bertanggungjawab termasuk dalam melakukan pemantauan berkala secara berterusan,” katanya. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *