Home » Langit Terbuka » Sultan Kedah seru umat Islam bina keluarga ikut lunas agama

Sultan Kedah seru umat Islam bina keluarga ikut lunas agama

Sultan Sallehuddin bertitah keluarga yang penyayang dan harmoni berkait rapat dengan keredaan serta keberkatan daripada Allah SWT - Foto Arkib

Alor Setar – Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru seluruh umat Islam supaya berusaha membina keluarga bahagia dan penyayang mengikut lunas ajaran serta panduan agama.

Sultan Sallehuddin bertitah keluarga yang penyayang dan harmoni berkait rapat dengan keredaan serta keberkatan daripada Allah SWT yang tidak boleh diabaikan sama sekali, kerana keredaan itu menjadikan kehidupan berkeluarga sentiasa tenang dan mendapat bantuan Allah pada waktu susah dan senang.

“…manakala keberkatan pula membawa kebahagiaan dan keharmonian yang berterusan… apabila rumah tangga itu dibina dengan asas yang sempurna dan sah, maka ia akan mendapat keredaan Allah SWT,” titah baginda secara dalam talian semasa merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444/2022 peringkat negeri di sini hari ini.

Sultan Kedah juga bertitah bahawa suami yang bergelar ketua keluarga mesti berusaha sedaya upaya mencari rezeki halal untuk anak dan isteri.

“Setiap makanan dan minuman yang diberikan kepada anak-anak dan isteri akan menjadi darah daging. Jika makanan itu diperolehi daripada sumber yang tidak halal sama ada makanan tersebut sendiri yang tidak halal atau dibeli dengan cara yang tidak halal, maka ia akan merosakkan jiwa anak-anak dan mewarnai kotoran dalam hati isteri.

“Ia  juga  akan  memberi kesan yang negatif kepada pembentukan akhlak anak-anak nanti. Sehubungan itu, adalah amat penting bagi ketua keluarga menjaga punca rezeki serta makanan mereka, agar cahaya keimanan mudah masuk ke dalam hati sanubari dan terpelihara daripada azab neraka,” titah baginda.

Sehubungan itu, bertepatan dengan tema Maal Hijrah pada tahun ini yang memfokuskan kekeluargaan, baginda menyeru seluruh umat Islam agar memberi keutamaan dan perhatian khusus dalam aspek pembinaan keluarga.

“…oleh itu, sematkanlah azam dan tekad untuk membina negara yang maju dan makmur melalui pembinaan keluarga yang bahagia dan harmoni. Semoga Allah SWT sentiasa memberkati dan mencurahkan rahmat dan hidayahNya kepada seluruh umat Islam di negeri Kedah ini,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin  juga menyeru umat Islam  khususnya di negeri ini agar  menghayati semangat hijrah dan  menterjemahkan secara syumul dalam  menjalani kehidupan berkeluarga atau secara individu.

Pada majlis itu, Pengasas Haji Ismail Group (HIG) di Langkawi Allahyarham Ismail Ahmad dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1444/2022 Negeri Kedah.

Balu Allahyarham, Yah Othman, 77, menerima anugerah itu.

Ismail meninggal dunia pada 5 Sept 2006 berikutan komplikasi penyakit kronik termasuk diabetes, darah tinggi dan jantung. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *