Home » Langit Terbuka » Maybank tingkat penguasaan pembiayaan Islamik

Maybank tingkat penguasaan pembiayaan Islamik

Maybank Islamic Bhd. menguasai kira-kira satu pertiga daripada kira-kira RM50 bilion pembiayaan perdagangan Islamik yang ditawarkan di negara ini. (gambar hiasan)

KUALA LUMPUR 6 April – Maybank Islamic Bhd. menyasarkan untuk me­ningkatkan penguasaannya dalam segmen pembiayaan perdagangan Islamik berikutan permintaan tinggi bagi produk pembiayaan tersebut di Malaysia.

Ketua Perbankan Islam Maybank dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamik, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, ketika ini pihaknya menguasai kira-kira satu pertiga daripada kira-kira RM50 bilion pembiayaan perdagangan Islamik yang ditawarkan di negara ini.

“Kami berhasrat untuk me­ningkatkan penguasaan kerana terdapat permintaan yang kukuh bagi kewangan Islam di Malaysia dan rantau ini dan pertumbuhan ekonomi halal global juga agak luar biasa,” katanya kepada pemberita selepas sesi Forum Pembia­yaan Perdagangan Islamik anjuran Persatuan Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) di sini hari ini.

Forum itu diadakan bersempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2018 yang berlangsung dari 4 hingga 6 April 2018 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Saadiq Bhd., Datuk Mohamaed Rafique Merican Mohd. Wahiduddin; Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Bhd., Datuk Adissadikin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Ir Dr. Mohd. Shahreen Zainooreen Madros dan Ketua Pegawai Eksekutif OCBC AL Amin Bank Bhd., Syed Abdull Aziz Kechik dan Dekan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr. Amir Shahruddin.

Sementara itu, Mohd. Shahreen berkata, penganjuran acara perdagangan halal seperti MIHAS menjadi platform penting bagi syarikat-syarikat tempatan mendapatkan maklumat terperinci terutama berkaitan pembiayaan perdagangan bagi membantu menambah baik perniagaan mereka.

“Selain itu, kita turut mengadakan Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) bagi membantu syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa untuk saling me­ngenali antara satu sama lain, sekali gus membantu mengembangkan perniagaan masing-ma­sing,” katanya.

Program INSP itu telah berjaya mencatatkan jualan sebanyak RM602 juta daripada 2,014 sesi padanan, naik 100 peratus daripada RM300 juta tahun lepas.

Katanya, 52 peratus pembeli datangnya dari China, diikuti India (13 peratus), Poland (12 peratus), Thailand (empat peratus) dan Amerika Syarikat (3.3 peratus). – UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *