Home » Citra Yadim » MDN anjur Multaqa Wanita Kebangsaan 2016

MDN anjur Multaqa Wanita Kebangsaan 2016

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Buat pertama kalinya Majlis Dakwah Negara (MDN) iaitu sebuah majlis di bawah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan menganjurkan Multaqa Wanita Kebangsaan 2016 pada 22 September 2016 bertempat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak di sini.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Kerja Pelaksana Program Mutaqa Wanita Kebangsaan 2016, Dato’ Hajah Kamilia Ibrahim berkata, penganjuran program itu adalah atas kesedaran bahawa pentingnya peranan wanita dalam sesebuah keluarga dan seterusnya pembinaan negara.

“Peranan wanita dilihat sebagai  penentu keutuhan institusi keluarga yang menjadi asas sesebuah Negara.

“Baik budi dan akhlak keluarga menjadikan negara itu telus dan bermaruah sekaligus melahirkan generasi yang  berhemah, berprinsip dan berupaya membina negara bangsa  yang membangun  dan produktif,’’ katanya dalam buku cenderhati program berkenaan.

Beliau berkata, penganjuran program itu juga adalah selari dengan agenda perpaduan ummah menjadi teras utama dalam agenda wanita untuk menangkis segala virus perpecahan di kalangan ummah.

Menurutnya, perpecahan boleh melemahkan agama, bangsa dan negara dan oleh yang demikian maka para wanita memerlukan tindakan yang lebih berani dalam pelbagai aspek kehidupan secara holistik.

“Adalah diharapkan golongan wanita yang hadr akan berbincang dan memutuskan tindakan yang akan di ambil agar wanita proaktif  mengikat satu ikatan perpaduan demi memperkukuh ummah yang bermula dari keluarga, ahli masyarakat dan kepimpinan Negara,’’ katanya.

Yang turut menjayakan program multaqa ini ialah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Majlis Alumni Pengajian Islam Kebangsaan (MAPIK) dan Persatuan Ulama Malaysia (PUM).

Program berkenaan akan diadakan dalam bentuk pembentangan usul dan perbincangan meja bulat  (RTD) bagi membolehkan MDN mendapat sebanyak mungkin maklum balas berhubung peranan wanita dalam memacu perpaduan ummah.

Sebelum ini, MDN juga telah menganjurkan beberapa program berbentuk RTD termasuk melibatkan golongan agamawan, belia dan ilmuwan muda serta Cina Muslim.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *