Home » Langit Terbuka » Jerebu punca 100,000 kematian pramatang

Jerebu punca 100,000 kematian pramatang

JAKARTA 19 Sept. – Kajian terkini pakar penyelidik daripada dua buah universiti di Amerika Syarikat (AS) mendapati, masalah je­rebu yang melanda Asia Tenggara tahun lalu telah menyebabkan lebih 100,000 kematian pramatang, sekali gus memberi amaran tindakan pantas perlu diambil bagi mena­ngani masalah terbabit.

Pakar Penyelidik membabitkan Universiti Harvard dan Universiti Columbia itu menganggarkan lebih 90,000 kematian di kawasan yang paling dekat de­ngan kebakaran di Indonesia, dan beberapa ribu lagi dikesan di negara jiran termasuk Singapura dan Malaysia.

Kajian baharu yang disiarkan dalam jurnal Enviromental Research Letters itu dilaporkan menggabungkan data satelit dengan model kesan kesihatan daripada pendedahan asap dan bacaan stesen pemantauan pencemaran.

Menerusi kajian itu, pakar penyelidik menganggarkan terdapat 91,600 kematian pramatang di Indonesia manakala 6,500 lagi di Malaysia dan Singapura (2,200 kematian).

Anggaran baharu menggunakan model analisis kompleks itu jauh lebih tinggi berbanding jumlah rasmi sebanyak 19 kematian yang diberikan oleh pihak berkuasa Indonesia sebelum ini.

“Jika tiada perubahan, jerebu pembunuh ini akan terus meragut lebih banyak nyawa, tahun demi tahun. Kegagalan untuk bertindak segera bagi memben­dungnya mungkin bakal dika­tegorikan sebagai satu jenayah,” kata ahli Greenpeace Indonesia, Yuyun Indradi.

Namun jurucakap Kementerian Alam Sekitar Indonesia masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kajian itu.

Pihak berkuasa Indonesia sebelum ini menegaskan mereka sedang meningkatkan usaha mengatasi jerebu melalui tindakan seperti mengharamkan pemberian tanah baharu untuk ladang kelapa sawit serta mewujudkan sebuah agensi bagi memulihkan kawasan ta­nah gambut.

Namun kebakaran hutan yang berlaku tahun lalu adalah antara yang paling buruk melanda rantau ini, menyebabkan sejumlah besar penduduk mengalami masalah kesihatan serta mencetuskan ketegangan diplomatik antara Indonesia dan negara jiran termasuk Malaysia. – AFP

https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *