Home » Citra Yadim » MDN Anjur Perhimpunan Agamawan Kebangsaan

MDN Anjur Perhimpunan Agamawan Kebangsaan

KUALA LUMPUR 14 Julai – Majlis Dakwah Negara (MDN-YADIM) akan menganjurkan Perhimpunan Agamawan Kebangsaan pada 20 Julai ini sebagai usaha menghimpunkan golongan berkenaan dan memacu peranan mereka untuk memupuk perpaduan ummah di negara ini.

Program sehari yang bertemakan `Agamawan Pemangkin Perpaduan Ummah dan Pembangunan Negara’ itu bakal berlangsung di Hotel Bangi, Bandar Baru Bangi, dengan seramai 300 peserta telah mengesahkan kehadiran mereka.

Para peserta yang akan hadir itu terdiri daripada pelbagai golongan termasuk pensyarah institusi pengajian tinggi, penggerak badan bukan kerajaan (NGO) Islam, guru-guru agama dan aktivis-aktivis yang terlibat dalam aktiviti agama.

Perhimpunan berkenaan diadakan bagi mewujudkan satu platform kepada golongan agamawan bagi membincangkan peranan golongan berkenaan dalam membentuk perpaduan ummah dan menyelesaikan kemelut perpecahan ummah.

Program ini adalah susulan daripada penganjuran Multaqa Perpaduan Ummah oleh MDN, pada Mei lepas yang telah menghasilkan satu resolusi yang antara lain menekankan peranan pelbagai pihak termasuk golongan agamawan dalam menyemarakan perpaduan ummah di negara ini.

Justeru, penganjuran program Perhimpunan Agamawan Kebangsaan ini dilihat sebagai satu platform yang baik kepada golongan agamawan bagi menyatakan idea dan saranan mereka dalam membantu menyelesaikan isu perpaduan ummah di negara ini.

Apa yang menarik program ini dijalankan dalam format perbahasan dan perbincangan dan bukan dalam bentuk pembentangan kertas kerja sebagaimana yang biasa dilaksanakan dalam penganjuran seminar.

Format perbincangan dan perbahasan ini sekaligus memberikan ruang yang luas kepada para peserta yang hadir memberikan cadangan, maklum balas dan sebagainya secara bebas dan telus.

Pihak penganjur akan membentangkan enam usul yang akan dibentangkan oleh Timbalan Pengerusi MDN, Prof. Dato’ Paduka Zakaria Stapa sebelum perbincangan dibuka dengan dipengerusikan oleh Dato’ Wan Mohamad Dato’ Sheikh Abdul Aziz.

Pada akhir persidangan Pengerusi MDN, Prof Emeritus Dr. Dato’ Mahmood Zuhdi Abdul Majid akan membuat rumusan dan penggulungan bagi menentukan arah tuju MDN selepas ini dalam menggerakkan agamawan di negara ini untuk berperanan sebagai pemangkin kepada perpaduan ummah dan pembangunan negara secara lebih proaktif dan holistik.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *