Home » Citra Yadim » MDN Kelantan tubuh Majlis Pemuafakatan Ilmu, Profesional

MDN Kelantan tubuh Majlis Pemuafakatan Ilmu, Profesional

PASIR PUTEH 19 Nov. : Majlis Dakwah Negara (MDN) Kelantan akan menubuhkan Majlis Permuafakatan Ilmuan dan Profesional Kelantan serta lima jawatankuasa kerja pembangunan masyarakat.

Pesuruhjaya MDN Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamat, berkata majlis berkenaan menghimpunkan kepakaran anak Kelantan dalam pelbagai bidang yang ada di dalam dan luar negeri ini.

Beliau berkata, menerusi majlis itu idea bernas ilmuan dan profesional akan disalurkan secara terancang kepada pihak berkenaan.

“Menerusi majlis ini, idea daripada tokoh ilmuan dan profesional digerak secara bergandingan bagi mengatasi pelbagai masalah dan cabaran yang dihadapi rakyat Kelantan.

“Lima jawatankuasa kerja pembangunan pula ialah pendidikan, ekonomi, sosio-budaya, perpaduan ummah dan penyelarasan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya ketika ditemui pemberita pada Retreat Ilmuan dan Profesional Kelantan 2016 di Tok Aman Bali Resort, di sini, hari ini.

Katanya, jawatankuasa itu juga diberi tanggungjawab untuk mencadangkan kepada MDN Kelantan rancangan jangka pendek dan panjang bagi menggerakkan proses pembangunan masyarakat dan negeri.

Program anjuran MDN dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu bertemakan peranan ilmuan dan profesional Kelantan sebagai pemangkin perpaduan ummah dan pembangunan masyarakat.

Yang turut hadir, Pengerusi MDN, Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid; Panel Pakar Ekonomi MDN, Tan Sri Mohd Nadzmi Salleh dan Yang Dipertua YADIM, Dr Yusri Mohamad.

Abdul Halim berkata, pihaknya juga akan menganjurkan beberapa siri pertemuan lanjutan dalam bidang masing-masing.

Katanya, MDN akan memulakan kegiatan menyemarakkan jiwa perpaduan ummah menerusi kegiatan turun ke peringkat akar umbi menerusi pelbagai aktiviti seperti ceramah, forum dan seminar berkaitan.

“Kita merancang mengadakan kunjungan ke atas kepemimpinan kerajaan negeri, agensi agama, pendidikan dan kemajuan masyarakat serta pemimpin pertubuhan politik Kelantan bagi menyampaikan mesej kepentingan perpaduan untuk kebaikan rakyat,” katanya. -https://www.bharian.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *