Home » Citra Yadim » MDN lawat Kelantan

MDN lawat Kelantan

Antara peserta yang hadir dalam Wacana Perpaduan Umat baru-baru ini

Majlis Dakwah Negara (MDN) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) telah mengadakan program  lawatan ke negeri Kelantan Darul Naim pada 5 Februari lepas. Program dipenuhi dengan pelbagai acara termasuk lawatan ke Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli (Puldoa), Kok Lanas, Ketereh, juga Muzakarah Penyelarasan Dakwah dan Wacana Perpaduan Ummah.

Lawatan itu diketuai oleh Pengerusi MDN, Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Haji Abd Majid dan turut disertai oleh ahli-ahli MDN yang lain iaitu Prof. Dato’ Paduka Dr. Zakaria Stapha, Prof Dato Dr. Idris Zakaria,  Dato’ Hajjah Kamilia Ibrahim dan Dr. Muhammad Razak Idris.

Dalam lawatan ke Puldoa, delegasi MDN telah diberi sambutan oleh pihak Islamic Outreach Abim yang menguruskan pusat itu dengan diketuai oleh Presiden Malaysia Relief Agensi (MRA), Datuk Dr. Abdul Razak Kechik yang juga merupakan penerima Anugerah Pendakwah Negara 2015.

Pada sebelah petang, telah diadakan Muzakarah Penyelarasan Dakwah yang diadakan bertujuan mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak mengenai kegiatan dakwah dan permasalahan yang dihadapi di negeri Kelantan.

Hadir dalam muzakarah ini termasuk wakil-wakil badan bukan kerajaan, persatuan,  parti-parti politik, persatuan pelajar dan lain-lain lagi.

Dalam muzakarah itu, pelbagai perkara dibangkitkan termasuk dari segi kekangan yang dihadapi oleh gerakan dakwah termasuk sikap orang Islam sendiri yang begitu skeptikal terhadap orang bukan Islam sehingga menjejaskan usaha yang dilaksanakan itu.

Masyarakat Islam juga gagal menunjukkan nilai-nilai sebenar Islam seperti prihatin dan kasih-sayang berbanding orang bukan Islam sehingga menyebabkan mereka tidak begitu berminat untuk mendalami ajaran Islam.

Pada sebelah malam, berlangsung acara kemuncak itu iaitu `Wacana Perpaduan Umat – Apakah Peranan Kita?’ di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan yang dianjurkan bersama oleh Majlis Dakwah Negara (MDN) – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta kerjasama daripada Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Wacana Ilmuan Malaysia, Persatuan Veteran MAYC Malaysia (PVMM) dan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM).

Program ini bertujuan mendapat input-input daripada pelbagai pihak termasuk golongan akademik, badan bukan kerajaan, parti politik dan lain-lain lagi dalam isu perpecahan umat Islam dan orang Melayu yang begitu merisaukan sekarang.

Dalam wacana itu antara yang diperkatakan termasuk punca perpecahan yang dikatakan banyak dikaitkan dengan politik serta kurangnya prihatin sesetengah pihak terhadap kesan dan akibat yang boleh berlaku daripada perpecahan itu.

Namun, terdapat juga peserta yang menyatakan bahawa perpecahan adalah sesuatu perkara yang biasa berlaku kerana dalam sesebuah masyarakat itu akan sentiasa terdapat pelbagai pemikiran tetapi yang lebih penting ialah bagaimana pihak berkuasa mengurus perbezaan itu.

Artikel Berkaitan

Tingkat kualiti pendakwaan syarie

SHAH ALAM – Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM) berupaya meningkatkan kualiti pendakwaan dan menyeragamkan proses penggubalan undang-undang syariah di negara ini.

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *