Home » Citra Yadim » Rujuk kepada ulama muktabar

Rujuk kepada ulama muktabar

KUALA LUMPUR – Umat Islam pada abad ini merupakan umat akhir zaman yang sedang diuji dengan pelbagai konflik dan cabaran terutama fitnah agama. Oleh itu, bagi menghadapi dan menangani fitnah agama ini, masyarakat Islam memerlukan kepada para ulama untuk memberi pencerahan dan penjelasan.

Fitnah agama ini ternyata telah menimbulkan pelbagai kekeliruan dan salah faham sehingga sampai ke satu tahap, kekeliruan tersebut tidak mampu dirungkaikan dan hanya menimbulkan perselisihan yang panjang.

Justeru, atas kesedaran untuk memberi pencerahan tentang masalah-masalah yang berlaku, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dengan kerjasama Yayasan Amanah Al-Wariseen telah menganjurkan “Wacana Cabaran Umat Islam Akhir Zaman: Soal Jawab dan Penjelasan” di Dewan Muktamar, Pusat Islam baru-baru ini. Dianggarkan seramai 500 orang peserta telah mengikuti program ini.

Program yang menggunakan slogan ‘Why’ ini memberi peluang seluas-luasnya kepada para peserta untuk menganjurkan sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan keadaan semasa.

Menurut Yang Dipertua Yadim, Dr. Yusri Mohamad, pertemuan antara ulama antarabangsa ini adalah bertujuan untuk mengupas permasalahan yang berlaku di kalangan masyarakat Islam pada hari ini.  Ulama seharusnya menjadi pakar rujuk kepada masyarakat dalam membawa dan membersihkan agama daripada segala kejahilan.

Menurut Al-Syeikh Afeefuddin, masalah kita sekarang ialah kita mempunyai golongan yang dikategorikan sebagai orang yang hebat berkata-kata (speakers) dan orang yang menjadi pendengar (listeners).

“Memang ada individu yang mempunyai kelebihan mengeluarkan kata-kata yang baik dan memukau pendengar. Masyarakat kita yang menjalani kehidupan sibuk hari ini tidak mempunyai ilmu untuk memahami mana yang baik dan buruk. Mereka tidak dilindungi seratus-peratus. Mereka hanya menyukai kata-kata yang indah itu, lalu mereka menerima apa sahaja yang disampaikan dan hanya menjadi pendengar semata-mata.”

Berbeza dengan golongan ulama, mereka tidak menggunakan kaedah sebegitu tetapi apa yang paling penting mereka mempunyai ilmu yang tinggi.

Satu lagi golongan adalah golongan yang menyampaikan ilmu (teachers) dan orang yang mendengarnya belajar daripada apa yang didengari (learners). Perkara ini amat penting untuk dijelaskan terutama kepada golongan muda.

Sementara itu, Al-Habib Abu Bakr Al-Mashoor menyambut baik program ini dan menganggapnya sebagai tarbiah untuk menghidupkan kembali akal fikiran, roh dan iman kita dengan kehadiran para ulama.

Al-Habib Umar bin Hamid Al-Jailani pula berkata, “Tujuan program ini adalah untuk menguatkan ukhuwwah Islamiah dan pemikiran kita tentang Islam. Peluang sebegini menjadi kekuatan yang sangat penting bagi umat Islam. Majlis yang sangat bermaafaat ini diibarat seperti mimbar-mimbar Islam untuk mempamerkan Islam yang sebenarnya.”

Al-Habib Umar bin Hamid Al-Jailani membangkitkan bahawa krisis kekacauan yang berlaku dalam kelompok umat Islam hari ini merupakan satu keadaan yang tidak pernah dialami sebelum ini. Krisis ini berpunca daripada cara hidup kita yang tidak mempunyai muwazanah (pertimbangan) sebagaimana yang dituntut oleh agama. Kesannya, umat Islam telah dilabel sebagai ‘umat yang tidak mampu menanam apa-apa benih dan membuahkan benih tersebut sehingga diibaratkan sebagai umat yang mandul.’

“Cara menuntut ilmu sendiri telah terpesong iaitu dengan hanya merujuk kepada sumber-sumber yang tidak sahih. Sepatutnya, kita dianjurkan menuntut ilmu daripada para ulama dengan mengikut manhaj yang betul. Kita tidak akan mampu membetulkan krisis yang berlaku sekiranya kita jauh daripada ulama,” kata beliau.

Kiyai Haji Ahmad Hashim, bekas pimpinan Nahdatul Ulama pula menyatakan, “Persoalan tentang umat Islam di dunia hari ini bukan persoalan agama Islam itu kerana Islam adalah agama yang benar. Tetapi, segala kesilapan yang telah terjadi adalah disebabkan oleh umatnya.”

Sheikh Muhammad bin Yahyah Al-Ninowy berkata, “Golongan muda terutamanya memerlukan jawapan kepada setiap persoalan yang timbul. Mereka sebenarnya cintakan Allah dan Rasul. Oleh sebab itu, program ini adalah untuk membuka peluang seluas-luasnya kepada para peserta untuk menacari jawapan yang diperlukan daripada para ulama yang hadir.”

Sesi soal jawab telah dikendalikan oleh  Al-Sheikh Al-Sayyed Afeefuddin Al-Jailani, Pengerusi Al-Wariseen Trust Malaysia, Al-Habib Umar bin Hamid Al-Jailani (Makkah), Al-Habib Abu Bakr ibn Mashoor (Yaman), Al-Habib Umar bin Hamid Al-Jailani (Mesir) dan Sheikh Muhammad bin Yahyah Al-Ninowy (Amerika Syarikat).

Turut hadir adalah Tun Dato’ Sri Haji Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Dato’ Sri Prof. Dr. Zaini Ujang dan Habib Ali Zainal Abidin.

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *