Home » Langit Terbuka » Mekanisme wakaf, zakat dapat wujudkan rumah mampu milik

Mekanisme wakaf, zakat dapat wujudkan rumah mampu milik

Kerajaan mempunyai satu model yang terbukti berjaya dan sedang meneliti bagaimana wang zakat dapat digunakan sebagai deposit dan (bayaran) wang pendahuluan untuk rumah mampu milik. - Foto PJ Koner.com

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti pelbagai sudut dalam kewangan Islam termasuk wakaf dan zakat yang boleh dimanfaatkan bagi merealisasikan perumahan yang lebih berpatutan, khususnya bagi golongan miskin.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah berkata sebuah negeri di wilayah utara juga sedang mengendalikan skim perumahan wakaf untuk kalangan penduduk terbabit.

“Kita mempunyai satu model yang terbukti berjaya dan sedang meneliti bagaimana wang zakat itu dapat digunakan sebagai deposit dan (bayaran) wang pendahuluan. Adalah diharapankan menerusi cara ini, apa yang sebelum ini tidak mampu dimiliki, kini sebaliknya mungkin menjadi lebih berpatutan untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di luar Persidangan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Kewangan Islam Mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam yang julung kali diadakan di sini.

Dalam pada itu, Amiruddin berkata rangka kerja perbankan digital yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini, dijangka dapat melonjakkan negara dalam landskap perbankan digital.

“Sebagai peneraju dalam perbankan Islam, Malaysia perlu mengikuti inisiatif yang dilaksanakan seiring dengan pendigitalan sektor perbankan Islam bagi manfaat masyarakat,” katanya.

Selain itu, mengulas isu kontrak pembekalan fleet perkhidmatan kenderaan kerajaan, beliau berkata pengumuman mengenainya akan dibuat tidak lama lagi.

Laporan sebelum ini menyatakan sebanyak tujuh syarikat dijangka mengemukakan bidaan bagi kontrak lumayan itu berikutan kontrak pengendali sedia ada, Spanco Sdn Bhd akan tamat pada akhir tahun ini. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *