Home » Langit Terbuka » Melaka larang main Pokemon Go

Melaka larang main Pokemon Go

MELAKA 9 Ogos – Jawatankuasa Fatwa negeri memutuskan aplikasi permainan Pokemon Go adalah dilarang dan mesti dijauhi umat Islam kerana membawa kepada kemudaratan dan kelalaian.

Mufti Melaka, Abdul Halim Tawil berkata, larangan itu diputuskan selepas mengadakan perbincangan bersama ahli jawatankuasa fatwa negeri setelah meneliti dan menyemak kesan penggunaan aplikasi ber­kenaan.

Menurutnya, ketetapan itu juga dibuat berdasarkan unsur-unsur seperti pembaziran masa dan wang ringgit, di samping boleh membawa kepada masalah ketagihan melampau sehingga mengundang bahaya kepada keselamatan diri dan orang awam.

“Kami telah mengangkat laporan berhubung isu Pokemon Go ini dan memutuskan permainan tersebut mestilah dijauhi serta tidak boleh digunakan umat Islam kerana membuka ruang kepada keruntuhan akhlak dan gangguan emosi.

“Pihak kita juga tidak menolak kemungkinan permainan ini juga membawa agenda serta kepentingan tertentu sesete­ngah pihak bagi tujuan pengintipan berdasarkan kemampu­annya mengesan koordinasi lokasi bagi pelayar Pokemon Go itu sendiri, selain pencerobohan data peribadi,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di sini hari ini.

Pada 1 Ogos lalu, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah memutuskan permainan Pokemon Go dan Pokemon adalah tidak dibenarkan berikutan kemudaratan yang berlaku dalam masyarakat.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, keputusan itu juga dibuat berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah seseorang itu mela­kukan kemudaratan dan me­ngenakan kemudaratan itu kepada orang lain.”

Katanya, permainan itu juga sudah pasti menjejaskan tumpuan mereka yang bermain sehingga menyebabkan kelekaan, sekali gus mengundang bahaya kepada diri dan orang lain ter­utama jika bermain permainan itu ketika memandu.

Pihaknya juga mendapat maklumat mengenai karakter dalam permainan Pokemon Go yang banyak diletakkan di rumah-rumah ibadat, namun majlis fatwa masih melakukan kajian untuk memastikan kesahihan perkara tersebut, katanya.

Permainan Pokemon Go yang mencetuskan fenomena dunia itu boleh dimuat turun dan diakses di Malaysia sejak Sabtu lalu.

-https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *