Home » Langit Terbuka » Melaka tubuh Jabatan Pendidikan Islam

Melaka tubuh Jabatan Pendidikan Islam

Ketua Menteri Melaka memberitahu, jabatan itu akan diletakkan di bawah Majlis Agama Islam Melaka bagi menyelia dan menyelaras sistem pendidikan Islam - Foto MAIM

MELAKA – Kerajaan negeri Melaka akan menubuhkan Jabatan Pendidikan Islam Melaka bagi memberi fokus pada pembangunan sektor berkenaan secara lebih menyeluruh dan mampan, selewat-lewatnya Mac depan, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Katanya jabatan itu akan diletakkan di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi menyelia dan menyelaras sistem pendidikan Islam melibatkan Sekolah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Sekolah Agama Rakyat, dan sekolah agama swasta didaftar di bawah JAIM termasuk sekolah atau pusat tahfiz.

“Sekarang ini, semua sistem pendidikan Islam diselia oleh JAIM namun seperti kita sedia maklum JAIM mempunyai banyak tanggungjawab atau tugas yang perlu diuruskan termasuk menyelia pelbagai institusi Islam termasuk masjid serta mengurus pegawai syarak dan sebagainya.

“Bebanan kerja itu boleh memberi kesan kepada pengurusan yang lebih baik dan berfokus. Selain itu, penubuhan jabatan ini juga bertujuan mengurangkan birokrasi ke arah pembangunan Pendidikan Islam di negeri ini,”katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu beliau meninjau hari pertama persekolahan sesi 2019 di Sekolah Kebangsaan Dato Demang Hussin, Bukit Katil di sini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Abu Bakar Sahari dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Dato Demang Hussin Jamilah Ishak.

Adly berkata kertas kerja penubuhan Jabatan Pendidikan Islam Melaka itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat sebelum ia dibentangkan dalam mesyuarat lembaga Maim. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *