Home » Langit Terbuka » Badan pemikir, aktivis gesa PTPTN jelaskan sumbangan zakat RM1 juta

Badan pemikir, aktivis gesa PTPTN jelaskan sumbangan zakat RM1 juta

Penyelaras Unit Demokrasi dan Tadbir Urus , Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Aira Azhari memberitahu, PTPTN secara dasarnya boleh membayar zakat, jika ia memenuhi syaratnya - Foto Satay Panas

PETALING JAYA – Sebuah badan pemikir menggesa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjelaskan sumbangan RM1 juta kepada Lembaga Zakat Kedah kerana bimbang dengan tanggapan konflik kepentingan.

Ini kerana, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) berkata Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berasal dari Kedah dan bertanding di kerusi Parlimen Pendang pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Wan Saiful pernah mengetuai Ideas sebagai ketua eksekutif sebelum menyertai politik.

Penyelaras Unit Demokrasi dan Tadbir Urus Ideas, Aira Azhari memberitahu FMT, PTPTN secara dasarnya boleh membayar zakat, jika ia memenuhi syaratnya.

“Disebabkan sumber kekayaannya bukan datang daripada sumber pendapatan tidak halal seperti perjudian, dadah dan alkohol, jadi secara dasarnya, ia boleh bayar zakat.

“Sumber pendapatan tidak halal tidak sama dengan pendapatan yang diterima daripada bukan Islam.

“Satu analogi mudah ialah seorang ahli perniagaan Islam menjual sehelai baju T kepada pelanggan bukan Islam. Sumber pendapatan umat Islam itu dianggap halal.”

Bagaimanapun, aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar berkata tidak wajar PTPTN memberi sumbangan zakat.

Katanya, ia menimbulkan persoalan berhubung pengurusan kewangan PTPTN dan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kerajaan PH melakukan pengurusan kewangan betul satu daripada dasar utama dalam platformnya, jadi apabila PTPTN yang dalam hutang, dilaporkan menyumbang kepada Lembaga Zakat Kedah, ia menimbulkan persoalan,” katanya kepada FMT.

Beliau menggesa kerajaan memandang berat isu itu kerana sumbangan itu walaupun berniat baik, tetapi tidak masuk akal.

“PTPTN ialah sebuah badan yang ditubuhkan untuk membantu pelajar melanjutkan pendidikan tinggi. Ia membabitkan nasib ratusan ribu pelajar.

“Pengurusan kewangan yang betul ialah prasyarat untuk meraih keyakinan orang ramai terhadap PTPTN,” katanya yang menggesa PTPTN menjelaskan sumbangan itu dan peraturan yang menjadi panduan pentadbirannya.

Beliau juga kesal dengan PTPTN dan Tabung Haji menjadi tumpuan media kerana “bertindak” di luar mandat mereka.

Jumaat lalu, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) mempersoalkan sumbangan zakat itu yang disifatkan menimbulkan syak. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *