Home » Analitis » Memperkasa pelapis muda negara

Memperkasa pelapis muda negara

KETIKA artikel ini ditulis, penulis dalam perjalanan pulang dari London setelah menghadiri dan menyampaikan ucapan Kelab Umno United Kingdom dan Eire yang menganjurkan konvensyen besar dikenali ‘The First Malaysian Initiative: Reviving The Malaysian Spirit’.

Program dihadiri hampir lebih 200 orang yang dianjurkan selama dua hari ini mendapat sambutan hebat daripada pelajar-pelajar yang hadir dari seluruh pelosok United Kingdom, termasuk paling jauh dari Poland.

Apa yang menarik, program ini dicetuskan dan diusahakan sepenuhnya oleh anak-anak muda yang merupakan generasi baharu kepimpinan Umno United Kindom yang bukan sahaja tampak bersemangat, malah punyai idea dan pemikiran kreatif dengan pelbagai agenda mencabar minda anak muda, khususnya yang berada di luar negara.

Di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi mungkin menjadi peribahasa tepat untuk menggambarkan Kelab Umno United Kingdom yang diterajui pengerusinya Ikmal Hazlan, anak Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Anak muda ini menampakkan kematangan mengolah idea-idea baharu dalam menanggapi pelbagai isu semasa yang menggamit masyarakat Malaysia ketika ini. Malah kedinamikan beliau dalam memimpin Kelab Umno UK tampak amat terserlah.

Malah, beliau bersama kepimpinan baharu Umno London buat pertama kalinya turut berjaya menghimpunkan pelbagai kelompok gerakan pelajar yang aktif di United Kingdom ini, termasuk dua organisasi terbesar Ikram dan Isma.

Inilah yang negara mahukan. Pemimpin berjiwa besar dan punya ciri-ciri negarawan yang mampu berfikir dan bertindak melangkaui ketaksuban dan kejumudan kepada sesuatu kelompok mahupun politik parti.

Sebab itulah penulis turut mengambil peluang dalam sesi dialog bersama kepimpinan dan peserta konvensyen menegaskan keperluan anak-anak muda keluar daripada kepompong pemikiran lama politik kepartian yang hanya melihat sesuatu isu daripada kerangka kelompok parti.

Sebaliknya anak-anak muda mesti berani menampilkan idea-idea kritis yang baharu dan segar berteraskan ilmu dan prinsip agama melangkaui kepentingan kelompok yang jumud dan rigid.

Memang benarlah, anak muda jika diberikan peluang memimpin tanpa dikerah mahupun dipaksa-paksa, pasti mampu menatijahkan sesuatu yang dinamik. Faktor usia juga sememangnya terbukti punya kekuatan tersendiri dalam memantapkan sesebuah organisasi.

Islam turut memperakui tahap kemampuan dan kebolehan manusia dalam setiap peringkat usianya dalam kehidupan. Ini sejajar firman ALLAH dalam al-Quran: ALLAH menciptakan kamu, kemudian mewafatkan kamu dan di antara kamu ada yang dikembalikan kepada umur yang paling lemah (lanjut) supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatu pun yang pernah diketahuinya. (An-Nahl:70).

Sejarah Islam turut membukti dan memperakui kebolehan dan kemampuan generasi muda dalam menggalas tanggungjawab besar membangunkan umat, sekali gus melakukan perubahan ke atas masyarakat Arab Jahiliyah.

Kedatangan Islam pada awalnya di Makkah terlebih dahulu disambut oleh golongan muda yang secara fitrahnya lebih bersedia berubah dan melakukan perubahan.

Abu Bakar, sahabat Nabi yang tertua berumur 40 tahun manakala paling muda Ali bin Abi Talib yang masih dalam lingkungan umur 10 tahun. Sahabat-sahabat lain seperti anak angkat Rasulullah, Zaid ibn Harithah, Zubair ibn Awwam, Saad ibn Abi Waqqas, Talhah ibn Ubaidullah dan Abu Ubaidah Al-Jarrah, rata-rata berusia remaja dan belia, namun bersemangat waja mendukung perjuangan besar Islam.

Ini diperakui sendiri oleh Rasulullah SAW yang amat berbangga dengan semangat generasi muda yang begitu bersungguh-sungguh bersama Baginda memperjuangkan risalah tauhid melalui sabdanya: “Sesungguhnya ALLAH sentiasa mengurniakan kepadaku perkhabaran gembira dan berupa peringatan. Di kala aku ditentang hebat golongan tua, aku didukung oleh golongan muda”.

Justeru proses pemudaan organisasi tidak kira parti politik mahupun apa jua bentuk institusi perlu diperhebat bagi mendepani pelbagai cabaran masa kini, khususnya generasi muda yang tampak semakin meminggirkan diri daripada kegiatan kesukarelaan.

Namun, ia tidak bermakna apabila organisasi memberi ruang luas kepada golongan muda, maka generasi tua yang kaya dengan pengalaman dan pengajaran pula disisihkan. Tenaga muda dan tua harus digembleng bersama ke arah pemerkasaan generasi muda negara.

Ini sejajar dengan saranan ulama besar Islam Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi yang pernah mengungkapkan: “Kebijaksanaan orang tua dan semangat orang muda dalam menggembleng tenaga membangunkan negara”.

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *