Home » Citra Yadim » Menteri bersama YADIM rasai pengalaman dakwah Orang Asli Royal Belum

Menteri bersama YADIM rasai pengalaman dakwah Orang Asli Royal Belum

ROYAL BELUM – Berdakwah kepada masyarakat Orang Asli memerlukan bukan saja kesabaran, malah ketahanan diri yang tinggi.

Namun mengambil semangat sebagai pendakwah sebenar, pada 21 September lalu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Perak dan Bahagian Pembangunan Daie YADIM telah turun padang meredah hutan dan tasik untuk melaksanakan program YADIM Peduli Ziarah Rahmah di empat perkampungan Orang Asli di sini.

Program ini turut mendapat kerjasama Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Agama Islam Perak, Biro Kebajikan Masyarakat Lenggong Perak, Jabatan Kemajuan Orang Asli Perak, Pejabat Menteri Besar Perak serta Polis Diraja Malaysia.

Delegasi YADIM diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh memulakan perjalanan selama 6 jam bermula 8.30 pagi dari ibu pejabat YADIM di Putrajaya, sebelum menaiki tiga houseboat untuk menuju ke perkampungan Orang Asli berkenaan.

Pada sekitar jam 5.40 petang, tiupan angin yang sangat kuat menyebabkan besi penambat tidak dapat menahan beban yang berat lantas patah mengakibatkan salah sebuah houseboat hilang kawalan dan berpusing pusing di tasik, namun tiada penumpang yang mengalami kecederaan.

Insiden tersebut bagaimanapun tidak mematahkan semangat para delegasi, dan kesemuanya meneruskan perjalanan ke destinasi mereka.

Selepas bermalam di houseboat, delegasi seramai kira kira 30 orang termasuk kakitangan Bahagian Media dan Penyiaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan ahli badan bukan kerajaan, kemudiannya disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf pada keesokan harinya (22 September).

Beliau sebelumnya berada di Pulau Pinang menyampaikan ucaptama dalam Konvensyen Negara Rahmah, juga satu program anjuran YADIM.

Mujahid tiba di Gerik pada lewat petang 21 September, namun atas faktor keselamatan dan nasihat polis, bermalam di pekan Gerik terlebih dahulu.

Sebaik menyertai delegasi YADIM, Mujahid telah diberikan taklimat mengenai program sebelum mereka tiba di Kampung Orang Asli Chiong sekitar jam 9 pagi. Lokasi pertama yang dilawat oleh beliau ialah surau di kampung ini.

Meskipun tiada bekalan air dan elektrik, keadaan surau terjaga dengan elok. Di perkampungan ini, sejumlah 50 bungkusan keperluan harian diedarkan kepada penduduk.

Mujahid kemudiannya berjalan kaki bersama delegasi sejauh dua kilometer ke lokasi seterusnya iaitu Kampung Tebang.

Mereka tiba di lokasi kedua program selepas menempuh perjalanan berbukit bukau selama hampir 40 minit.

Di kampung ini, Mujahid telah mengislamkan seorang gadis berusia 20 an. Upacara pengislaman telah diadakan di kediamannya sambil disaksikan delegasi dan hadirin yang sama sama datang. Sejumlah 40 bungkusan keperluan diedarkan di sini.

Penduduk kampung juga diraikan dalam majlis makan tengahari yang di masak oleh anggota delegasi YADIM. Mujahid sendiri membantu menyediakan hidangan malah turut mencedok lauk kepada hadirin.

Selesai majlis dan beramah mesra dengan penduduk di Kampung Tebang, delegasi meneruskan perjalanan ke Kampung Chuwei dan Kampung Charok Bus.

Di Kampung Chuwei, satu majlis ringkas diadakan untuk menyumbangan 15 kit jenazah kepada pegawai penyelaras dari Jabatan Agama Islam Daerah Gerik, yang bertanggungjawab terhadap perkampungan Orang Asli di sekitar Royal Belum.

Kit sumbangan YADIM ini adalah untuk kegunaan sekiranya terjadi kematian Orang Asli Muslim di kawasan berkenaan.

Delegasi selesai menyantuni para penduduk di keempat empat kampung pada jam sekitar 4.30 petang sebelum bertolak pulang.

Secara keseluruhannya, objektif YADIM untuk turun padang, berdakwah dan menyantuni masyarakat orang Asli di Royal Belum berjaya dicapai.

Malah Mujahid sendiri memaklumkan beliau sangat berpuas hati dengan program dilaksanakan YADIM selama dua hari ini. YADIM mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau yang telah meluangkan masa menyertai program ini.

Usaha YADIM menyantuni masyarakat Orang Asli tidak berhenti setakat ini, malah beberapa program telah pun diatur bagi tujuan ini.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *