Home » Langit Terbuka » Mesin pengimbas KLIA boleh digunakan

Mesin pengimbas KLIA boleh digunakan

Contoh mesin pengimbas di KLIA. - Foto FMT

KUALA LUMPUR – Penggunaan alat pengimbas di kaunter pemeriksaan keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh umat Islam tidak menyalahi syariah.

Begitu reaksi Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, apabila menggunakan alat mesin pengimbas itu ketika melaluinya sebelum berlepas ke Pulau Pinang pagi ini (24 September).

Beliau berkata, kemuyskilan timbul apabila bentuk tubuh penumpang yang melalui mesin tersebut akan terpapar pada skrin pengimbas dalam visual dua dimensi untuk diperiksa oleh pihak berkuasa bertugas.

“Alhamdulillah, dengan kerjasama yang amat baik daripada pihak Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), Majlis Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah memutuskan bahawa pengunaan alat pengimbas ini adalah dibolehkan dengan syarat mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Melihat alat pengimbas yang baru diletakkan di KLIA ini, mengingatkan saya kepada Tuan Halim Othman bersama delegasi daripada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang bertemu dengan saya bagi mendapatkan fatwa berhubung penggunaan alat pengimbas ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji kawalan keselamatan di lapangan terbang dan pelbagai kemudahan yang wajar dihargai.

“Usaha MAHB dalam memastikan keselamatan pengguna lapangan terbang dengan menyediakan alat pengimbas bersekuriti tinggi wajar diberi pujian dan penghargaan.⁣

“Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak demi manfaat bersama,” ujarnya. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *