Home » Langit Terbuka » Menteri lawat negara Arab, bincang isu Daesh, Qatar

Menteri lawat negara Arab, bincang isu Daesh, Qatar

PUTRAJAYA 12 Julai – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun  Hussein akan melawat Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Bahrain minggu depan bagi menyuarakan kebimbangan Malaysia dalam isu-isu penting seperti  Daesh dan krisis Qatar-NegaraTeluk.

Hishammuddin yang juga Menteri dengan Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri berkata, adalah amat penting bagi Malaysia memahami situasi sebenar isu semasa yang amat membimbangkan itu, selain meneliti sama ada Malaysia boleh memainkan peranan dalam menanganinya.

“Perkara pertama dalam misi ini adalah mengenai Daesh, (memandangkan) situasi di Mosul, Iraq dan Raqqa di utara Syria telah berakhir, mereka (Daesh) akan melarikan diri ke kawasan lain dan saya harus pastikan mereka tidak datang ke rantau kita.

“Keduanya ialah untuk melihat situasi di Negara Teluk sama ada Malaysia boleh membantu bagi memastikan tidak ada pihak cuba memecahbelahkan kita. Saya akan berjumpa dengan semua pemimpin dahulu. Kita akan teliti dan kemudian balik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Pada 6 Julai lalu, Hishammuddin berkata, Malaysia akan mengkaji mekanisme dan tindakan proaktif yang diambil oleh sesetengah negara di Timur Tengah  dalam menangani ancaman militan Daesh yang semakin meningkat.

Beliau dipetik berkata, satu perkongsian akan diadakan menerusi lawatan rasminya ke Arab Saudi, UAE dan Bahrain memandangkan negara-negara berkenaan lebih berpengalaman dalam menangani Daesh berbanding Iraq dan Syria.

Pada 5 Jun lepas, beberapa negara termasuk Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir memutuskan hubungan dengan Qatar yang didakwa mereka menyokong pertubuhan pengganas.

Ditanya sama ada Malaysia akan berperanan sebagai orang tengah, Hishammuddin berkata: “Tidak.. tetapi kita perlu tunjukkan kebimbangan dari rantau kita dan hakikat bahawa negara Timur Tengah memandang tinggi pada kita, dengan Pusat Keamanan Raja Salman ditubuhkan di sini (Putrajaya), saya fikir amat penting bagi kita untuk memahami  situasi sebenar.”

Diminta mengulas lanjut akan pertemuan beliau dengan pemimpin UAE, Arab Saudi dan Bahrain nanti, Hishammuddin berkata beliau akan berjumpa putera mahkota ketiga-tiga negara bagi mendapatkan perkembangan terkini serta fakta-fakta berkaitan krisis Qatar.

“Kita hanya boleh dapat maklumat ini jika kita jumpa mereka secara bersemuka,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai kemungkinan penduduk Marawi melarikan diri ke Malaysia, Hishammuddin berkata kemungkinan itu ada berikutan kegiatan militan yang mempunyai kaitan Daesh di sana di mana  empat rakyat Malaysia terbunuh dalam pertempuran antara militan dan pasukan keselamatan Filipina di wilayah tersebut.

“Di Marawi, anda lihat ada rakyat Arab Saudi, Maghribi, Australia dan lain-lain. Ancaman ini benar. Saya tidak mengada-adakannya,” kata Hishammuddin.

Mengulas perkembangan lain, beliau berkata siasatan terhadap pesawat pejuang Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di Kemaman, Terengganu pada 15 Jun lalu berjalan lancar.

Insiden itu mengorbankan kedua-dua juruterbang  Mejar Mohd  Hasri Zahari, 31 dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39.

Jet pejuang itu berlepas dari Pangkalan TUDM Kuantan pada 11 pagi hari berkenaan dan terputus hubungan setengah jam kemudian sebelum mayat kedua-dua juruterbang ditemui pada 2.30 petang di kawasan berpaya di Kampung Yak Yah, Chukai, Kemaman. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *